"Sekiranya anda mampu untuk menulis demi Islam, maka tulislah seberapa banyak yang mampu. Tinggalkanlah pesanan-pesanan berharga buat ummat yang sedang lalai. Mudah-mudahan suatu hari nanti apabila mereka terbaca mereka mampu tersedar dan memperoleh kekuatan untuk membuat perubahan bagi diri mereka dan orang lain."

-Mohd Hakimi Bin Lockman

"A leader is a reader".

-anonymous


Monday, September 30, 2013

Hidup tanpa Allah


"Hidup tanpa Allah umpama pensel yang tumpul. Tiada maknanya!"

Tuesday, September 24, 2013

Solat berjemaah… Lecehkah ?!




Hampir 2 bulan aku meninggalkan Mesir, bumi kinanah yang penuh barakah. Tempat yang terdapat berbilang ulama. Tempat yang kini menjadi kiblat ilmu bagi ummat Islam. Rindu sungguh aku akan suasana kehidupan bersama masyarakat yang sangat arif akan ilmu-ilmu syariat.
Setibanya aku di Malaysia, aku dapat merasai perbezaan yang amat ketara di antara 2 negara ini. Di sudut kemajuan, ternyata Malaysia telah melangkah lebih jauh. Malahan, kehidupan di sini segalanya berjalan dengan penuh sistematik.

Jelasnya, apabila masyarakat mula dihanyut arus pembangunan yang begitu deras, ia turut memberi kesan akan beberapa aspek di dalam kehidupan.

Di dalam kehidupan ini, ada suatu aspek yang sangat perlu untuk dijaga tanpa siapakah anda dan dimana jua anda berapa. Ia adalah aspek agama dan apabila menyebutkan agama tiadalah yang lain selain dari Islam.

Bagi agama Islam, ukuran utama yang menentukan seseorang itu beridentitikan Islam ialah apabila dia melakukan solat. Solat itulah yang membezakan di antara seorang muslim dan juga non-muslim ataupun kafir.

Perlu diingat, solat itu bukanlah sekadar solat. Ia adalah talian perhubungan seorang hamba kepada tuhannya. Ketika solat, seorang hamba itu mempersembahkan dirinya kepada Allah secara mutlak.

Oleh itu, sebagai seorang hamba, apakah kita mahu memberikan persembahan yang terbaik ataupun tidak. Persembahan yang terbaik natijahnya tentu sahaja kita faham, bukanlah seperti biasa tetapi, luar biasa. Natijah yang luar biasa hanya mampu dikecapi dengan kesungguhan.

Ketikamana kita menunaikan ibadah, lebih-lebih lagi solat, kita dianggap memberikan sebuah persembahann yang terbaik apabila kita mengambil perkara yang utama atau yang kita selalu dengar perkara yang afdhal.

Perkara yang utama ketika solat ada disebutkan di dalam sebuah hadis daripada ar-Rasul SAW yang berbunyi,

“Solat berjemaah itu lebih utama daripada solat bersendirian 27 kali ganda”.

Ketika berada di Mesir, walaupun sistem bandarayanya tidaklah secanggih dan sistematik seperti di Malaysia, aku dapat merasakan beberapa nilai yang sangat berharga yang tiada di negaraku.

Kulihat, masyarakatnya sangat mementingkan solat berjemaah. Asalkan cukup syarat untuk melakukan solat berjemaah, mereka segera melakukannya tanpa perlu berkira dan berfikir panjang.

Di sini, di negaraku sendiri, apa yang aku nampak, kalau ada peluang untuk solat bersendirian, dengan pantas mereka melakukannya.

Di antara tanda yang jelas mereka memilih untuk solat bersendirian ialah apabila mereka lebih memilih untuk bersolat di bahagian belakang daripada bahagian hadapan apabila menunaikan solat bersendirian. Takut-takut ditepuk menjadi imam agaknya.

Selain itu, boleh juga lihat apabila mereka nampak dengan jelas ada yang mengambil bersama-sama, namun, usai mengambil wuduk mereka terus bersolat tanpa mengajak orang lain untuk turut bersama berjemaah.

Apakah solat berjemaah ini leceh?

Mungkin mereka terlalu sibuk dengan urusan mereka. Mungkin mereka mempunyai waktu solat yang terhad. Mungkin mereka akan mengalami kerugian yang besar sekiranya mengambil masa yang lama untuk bersolat.
Apakah nilai solat itu sekiranya dilakukan secara tergopoh-gapah?

Bukankah melakukan solat secara berjemaah itu lebih utama dan juga lebih berkat? Bukanlah susah sangat mahu menunaikan solat berjemaah itu.

Kadang-kala, kita ini tidak bertempat hendak merendah diri. Susah untuk melakukan solat berjemaah sebab masing-masing berasa tidak layak untuk berada di hadapan kerana dosa-dosa silam ataupun berasa kekurangan ilmu dan sebagainya.

Menjadi imam solat berjemaah bukanlah perlu orang yang maksum pun. Paling kurang pun tahulah cara-cara mengerjakan solat. Bezanya ialah niat sahaja.

Adakala susah hendak memilih imam kerana masing-masing beralasan tidak pandai membaca doa. Membaca doa dan berwirid selepas solat bukanlah termasuk di dalam rukun. Kalau tidak tahu membaca doa di dalam bahasa arab, bacalah doa di dalam bahasa melayu.

Sidang pembaca yang budiman,

Sekiranya kita faham nilai sesebuah solat yang berkualiti, nescaya kita akan berlumba-lumba merebut peluang tersebut. Sayangnya, tidak ramai yang mampu melihatnya dengan nyata.

Mengapa masyarakat arab di Mesir berlumba-lumba untuk melakukan solat secara berjemaah adalah kerana mereka faham akan nilai sesebuah solat yang dilakukan secara berkualiti.

Apa yang kucbuba bawakan ialah, solat berjemaah itu bukanlah sesuatu perkara yang susah untuk dilakukan dan ia sepatutnya menjadi kebiasaan di dalam amalan seharian kita.

Cubalah untuk menjadikan ia suatu peluang yang baik untuk merebut keredhaan Allah, peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Buangkan jauh-jauh dari minda kita bahawa solat berjemaah itu melecehkan.


Ingat, di antara solat bersendirian dan solat berjemaah, pilihlah untuk solat berjemaah. Moga Allah menerima segala amalan kita.



Thursday, September 19, 2013

Inginkan sesuatu yang kamu suka?


"Jikalau kamu mahukan Allah memberikan suatu yang kamu suka, maka senantiasalah melakukan apa yang Allah suka dan sayang".

P/s : Agak-agaknya berapa banyakkah perkara yang disukai Allah telah kita lakukan?