Solat berjemaah… Lecehkah ?!
Hampir 2 bulan aku meninggalkan Mesir, bumi kinanah yang
penuh barakah. Tempat yang terdapat berbilang ulama. Tempat yang kini menjadi
kiblat ilmu bagi ummat Islam. Rindu sungguh aku akan suasana kehidupan bersama
masyarakat yang sangat arif akan ilmu-ilmu syariat.
Setibanya aku di Malaysia, aku dapat merasai perbezaan yang
amat ketara di antara 2 negara ini. Di sudut kemajuan, ternyata Malaysia telah
melangkah lebih jauh. Malahan, kehidupan di sini segalanya berjalan dengan penuh
sistematik.
Jelasnya, apabila masyarakat mula dihanyut arus pembangunan
yang begitu deras, ia turut memberi kesan akan beberapa aspek di dalam
kehidupan.
Di dalam kehidupan ini, ada suatu aspek yang sangat perlu
untuk dijaga tanpa siapakah anda dan dimana jua anda berapa. Ia adalah aspek
agama dan apabila menyebutkan agama tiadalah yang lain selain dari Islam.
Bagi agama Islam, ukuran utama yang menentukan seseorang itu
beridentitikan Islam ialah apabila dia melakukan solat. Solat itulah yang
membezakan di antara seorang muslim dan juga non-muslim ataupun kafir.
Perlu diingat, solat itu bukanlah sekadar solat. Ia adalah
talian perhubungan seorang hamba kepada tuhannya. Ketika solat, seorang hamba
itu mempersembahkan dirinya kepada Allah secara mutlak.
Oleh itu, sebagai seorang hamba, apakah kita mahu memberikan
persembahan yang terbaik ataupun tidak. Persembahan yang terbaik natijahnya
tentu sahaja kita faham, bukanlah seperti biasa tetapi, luar biasa. Natijah
yang luar biasa hanya mampu dikecapi dengan kesungguhan.
Ketikamana kita menunaikan ibadah, lebih-lebih lagi solat,
kita dianggap memberikan sebuah persembahann yang terbaik apabila kita
mengambil perkara yang utama atau yang kita selalu dengar perkara yang afdhal.
Perkara yang utama ketika solat ada disebutkan di dalam
sebuah hadis daripada ar-Rasul SAW yang berbunyi,
“Solat berjemaah itu lebih utama daripada solat bersendirian
27 kali ganda”.
Ketika berada di Mesir, walaupun sistem bandarayanya
tidaklah secanggih dan sistematik seperti di Malaysia, aku dapat merasakan
beberapa nilai yang sangat berharga yang tiada di negaraku.
Kulihat, masyarakatnya sangat mementingkan solat berjemaah.
Asalkan cukup syarat untuk melakukan solat berjemaah, mereka segera
melakukannya tanpa perlu berkira dan berfikir panjang.
Di sini, di negaraku sendiri, apa yang aku nampak, kalau ada
peluang untuk solat bersendirian, dengan pantas mereka melakukannya.
Di antara tanda yang jelas mereka memilih untuk solat
bersendirian ialah apabila mereka lebih memilih untuk bersolat di bahagian
belakang daripada bahagian hadapan apabila menunaikan solat bersendirian.
Takut-takut ditepuk menjadi imam agaknya.
Selain itu, boleh juga lihat apabila mereka nampak dengan
jelas ada yang mengambil bersama-sama, namun, usai mengambil wuduk mereka terus
bersolat tanpa mengajak orang lain untuk turut bersama berjemaah.
Apakah solat berjemaah ini leceh?
Mungkin mereka terlalu sibuk dengan urusan mereka. Mungkin
mereka mempunyai waktu solat yang terhad. Mungkin mereka akan mengalami
kerugian yang besar sekiranya mengambil masa yang lama untuk bersolat.
Apakah nilai solat itu sekiranya dilakukan secara
tergopoh-gapah?
Bukankah melakukan solat secara berjemaah itu lebih utama
dan juga lebih berkat? Bukanlah susah sangat mahu menunaikan solat berjemaah
itu.
Kadang-kala, kita ini tidak bertempat hendak merendah diri.
Susah untuk melakukan solat berjemaah sebab masing-masing berasa tidak layak
untuk berada di hadapan kerana dosa-dosa silam ataupun berasa kekurangan ilmu
dan sebagainya.
Menjadi imam solat berjemaah bukanlah perlu orang yang
maksum pun. Paling kurang pun tahulah cara-cara mengerjakan solat. Bezanya
ialah niat sahaja.
Adakala susah hendak memilih imam kerana masing-masing
beralasan tidak pandai membaca doa. Membaca doa dan berwirid selepas solat
bukanlah termasuk di dalam rukun. Kalau tidak tahu membaca doa di dalam bahasa
arab, bacalah doa di dalam bahasa melayu.
Sidang pembaca yang budiman,
Sekiranya kita faham nilai sesebuah solat yang berkualiti,
nescaya kita akan berlumba-lumba merebut peluang tersebut. Sayangnya, tidak
ramai yang mampu melihatnya dengan nyata.
Mengapa masyarakat arab di Mesir berlumba-lumba untuk
melakukan solat secara berjemaah adalah kerana mereka faham akan nilai sesebuah
solat yang dilakukan secara berkualiti.
Apa yang kucbuba bawakan ialah, solat berjemaah itu bukanlah
sesuatu perkara yang susah untuk dilakukan dan ia sepatutnya menjadi kebiasaan
di dalam amalan seharian kita.
Cubalah untuk menjadikan ia suatu peluang yang baik untuk
merebut keredhaan Allah, peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Buangkan jauh-jauh dari minda kita bahawa solat berjemaah
itu melecehkan.
Ingat, di antara solat bersendirian dan solat berjemaah,
pilihlah untuk solat berjemaah. Moga Allah menerima segala amalan kita.
Comments
Post a Comment