ISLAM HARAMKAN PERBUATAN MENGUMPAT


 

Oleh ABDUL RASHID AHMAD: (Jabatan al-Quran dan al-Hadiyh, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya)


 

FIRMAN Allah bermaksud: "Hai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain. Sukakah seorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi amat mengasihani" (Surah Al-Hujurat: ayat 12) .


 

Melalui ayat di atas, Allah mengajar manusia bagaimana mereka dapat membersihkan hati dan perasaan daripada perkara yang boleh menjejaskan keharmonian kehidupan bermasyarakat.


 

Larangan seperti itu bagaikan benteng kukuh yang didirikan oleh Islam demi menjaga kehormatan dan kebebasan individu Muslim dalam masyarakatnya yang mulia dan unggul.


 

Dalam ayat tadi, kita dapati tiga lagi sifat buruk yang dilarang oleh Islam. Ketiga-tiganya dikategorikan dalam golongan sifat-sifat Mazmumah (dikeji). Ia adalah banyak sangkaan, mencari-cari rahsia serta keaiban orang.


 

Secara jelas menerusi ayat tadi, Allah meminta supaya menjauhi perbuatan banyak sangka kerana mungkin dalam sangkaan yang banyak tadi terdapat sangkaan buruk terhadap orang yang sebenarnya baik. Inilah yang dilarang.

Ada pun orang jahat dan fasik yang terang melahirkan kejahatannya tanpa segan silu, seumpama meminum arak atau bergaul bebas tanpa batasan secara terbuka, maka tidaklah dilarang buruk sangka terhadap mereka, malah diharuskan pula agar dapat mendorong kita menjauhi tingkah laku seperti itu.


 

Namun demikian, kita juga masih dilarang daripada bercakap-cakap mengenai mereka kerana memperkatakan sangkaan itu boleh membawa kepada dosa pula.


 

Banyak hadis mengenai buruk sangka ini, antara lain adalah:

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Jauhilah kamu daripada sangkaan kerana ia sedusta-dusta bisikan hati, janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, janganlah kamu mendengar-dengar cerita orang, jangan kamu berlumba-lumba untuk menunjukkan kekuatan di antara satu sama lain, jangan kamu dengki-mendengki, benci-membenci, bermusuh-musuhan dan jadilah kamu semua hamba Allah yang bersaudara." (Hadis Riwayat Tirmizi)


 

Kedua pula, mencari-cari keaiban orang. Islam mengharamkan perbuatan mencari-cari kecacatan, keaiban orang lain dan mendedahkan keaiban yang disembunyikan dan membongkarkan rahsia mereka. Abu Hurairah berkata:

Rasulullah berkata kepada kami dengan mengatakan: "Wahai sidang orang yang beriman dengan lidahnya, pada hal iman belum lagi masuk ke dalam hatinya, janganlah kamu mencari-cari keaiban orang Islam. Sesungguhnya siapa yang berbuat demikian, maka Allah akan membukakan keaiban dalam rumahnya."

(Hadis Riwayat Abu Daud dan lain-lain)


 

Dalam kes lain, diceritakan bahawa Abu Qilabah berkata: "Saidina Umar bin Al-Khattab diberitahu bahawa Abu Mihjan al-Taqafi sedang minum arak bersama beberapa orang kawan di rumahnya." Lalu Umar bergegas ke sana dan terus masuk ke dalam rumahnya. Tiba-tiba didapati di situ hanya seorang saja bersamanya. Kemudian Abu Mihjan berkata: "Sebenarnya ini tidak halal bagimu. Sesungguhnya Allah melarang engkau mengorek rahsia." Lantas Umar pun keluar.

Ketiga, mengumpat. Mengumpat bermakna menyebut mengenai saudaramu apa yang tidak disukainya. Dalam ayat tadi, Allah melarang sesetengah orang menyebut apa yang tidak disukai sesetengah yang lain di belakangnya, sama ada disebut secara terang atau secara kiasan atau seumpamanya kerana yang demikian akan menyakitkan hati orang yang diumpat.


 

Perkara yang tidak disukainya itu sama ada berkaitan agama atau dunianya, asal kejadian atau akhlaknya, mahupun harta benda, anak isteri, pembantu, pakaian dan seumpamanya. Dalam konteks ini, Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasulullah pernah ditanya kalangan sahabatnya: "Apakah perbuatan mengumpat itu?" Jawab baginda: "Engkau menyebut mengenai saudaramu apa yang tidak disukainya." Lalu ditanya lagi: Apa kata sekiranya apa yang kukatakan itu memang benar ada pada saudaraku itu?" Sabda baginda: "Jika sekiranya ada padanya apa yang engkau katakan itu, maka sesungguhnya engkau sudah mengumpatnya. Sekiranya apa yang engkau katakan itu tiada padanya, maka sesungguhnya engkau berdusta terhadapnya."

(Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Jabar)


 

Berdasarkan hadis itu, jelaslah bahawa langsung tidak ada ruang bagi seorang mukmin untuk mengatakan sesuatu yang dibenci saudaranya di belakangnya. Sekalipun kata-kata itu benar, maka ia dianggap mengumpat. Sebaliknya jika tidak benar, maka dianggap berdusta. Kedua-duanya tidak terlepas daripada dosa. Allah membandingkan perbuatan mengumpat dengan memakan daging mayat. Tujuannya supaya setiap orang menjauhinya kerana tiada sanggup memakan mayat saudaranya. Ini sebagai dalil bagi menunjukkan bahawa perbuatan mengumpat itu diharamkan. Justeru, ia diharamkan secara sepakat oleh ulama dan diwajibkan ke atas pengumpat bertaubat kepada Allah. Sesungguhnya pengharaman mengumpat ini adalah berkaitan dengan penjagaan kehormatan dan maruah manusia yang disebutkan Rasulullah sewaktu berkhutbah pada haji terakhir baginda.


 

Sabda baginda, maksudnya: "Sesungguhnya darah, harta benda dan kehormatan kamu adalah haram ke atas kamu seperti haramnya kehormatan hari kamu ini, bulan kamu ini dan negeri kamu ini." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam satu riwayat lain, baginda bersabda, maksudnya: "Setiap Muslim ke atas Muslim itu haram hartanya, kehormatan dan darahnya, cukuplah seseorang dikira jahat dengan menghina saudaranya seorang Islam."

(Hadis Riwayat Tirmizi dan Abu Daud)


 

Demikian besarnya bahaya dosa perbuatan mengumpat ini. Namun begitu, bagi mereka yang sudah terlanjur melakukannya, cepat-cepatlah bertaubat. Sesungguhnya Allah bersedia menerima taubat seseorang yang

dilakukannya dengan penuh keinsafan dan kesedaran di atas kesalahannya kerana itu.

Allah mengakhiri ayat itu dengan firman: "Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat dan Amat Mengasihani."

Kalangan ulama sepakat mengatakan bahawa cara pengumpat melakukan taubatnya adalah sebagai berikut:-


 

Pertama, hendaklah meninggalkan perbuatan mengumpat itu sekali gus;


 

Kedua, hendaklah bertekad tidak mahu mengulangi lagi perbuatan itu;


 

Ketiga, hendaklah menyesal di atas apa yang sudah dibuatnya dan akhirnya hendaklah meminta halal daripada orang yang diumpatnya. Namun demikian, ada juga pendapat mengatakan bahawa tidak disyaratkan meminta halal daripada orang yang diumpatnya kerana apabila diberitahu kepadanya apa yang diumpatkan itu, mungkin perasaan marah atau malunya lebih besar daripada keadaan jika dia tidak mengetahuinya. Maka, caranya bagi pendapat ini, hendaklah pengumpat yang ingin bertaubat tadi memuji-muji orang itu di hadapan orang di mana dia mengumpatnya dulu supaya keburukan yang disebutkan dulu itu bertukar kepada kebaikan.


 

* andai sudah dibaca... baca dan baca lagi biar betul2 faham!

Diingatkan juga ada beberapa keadaan yang dihalalkan mengumpat seperti mendapatkan fatwa, mengutuk maksiat yang dilakukan secara terang-terangan dan beberapa sebab lain.

-------------------------------------------- --------------------

UNTUK KAUM MUSLIMIN YANG BERAKAL WARAS

Comments

Popular posts from this blog

Lirik | KeredhaanMu (In-Team)

Kepentingan Niat yang Jelas.

Pulang dan Kembali.