An Introduction About Usrah. #2




Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi kerana memberikan kekuatan untuk menyambung siri pengenalan usrah kepada para pembaca yang mulia di luar sana.

Part 1 untuk artikel "An Introduction About Usrah" boleh dibaca di link berikut :

https://kimilockman.blogspot.com/2015/10/an-introduction-kepada-usrah-1.html

***

Untuk artikel kali ini, saya belum berhasrat untuk menjawab persoalan yang saya lontarkan di akhir artikel bahagian pertama saya.

Pada artikel kali ini, perkara yang minat untuk saya ketengahkan berkenaan usrah adalah,

"Apa beza usrah dan majlis taklim atau majlis-majlis ilmu yang lain?"

Bukankah di dalam usrah pengisiannya berupa penyampaian Islam. Kenapa tidak pergi sahaja ke majlis taklim atau majlis-majlis ilmu yang selalu diadakan di masjid dan di surau. Yang selalunya berlaku selepas maghrib atau selepas isyak dan disampaikan oleh ustaz-ustaz yang hebat dan bertauliah.

Sidang pembaca yang saya muliakan.

Ingin saya tegaskan yang pertama,

"Usrah atau halaqah bukanlah sekadar majlis pengisian ilmu agama".

Tetapi, apa-apa pengisian berkenaan Islam dan ilmu agama merupakan teras dan sebahagian daripada pengisian yang ada di dalam usrah.


Apa yang sebenarnya boleh saya katakan tentang usrah adalah,

Ia sebenarnya adalah himpunan atau perkumpulan para ahli usrah bertujuan bukan sekadar mempelajari ilmu agama, tetapi yang lebih utama di dalamnya adalah mengingatkan kembali ahli-ahli usrah untuk kembali hidup mengikut landasan agama Islam dan syariatnya.

Itulah peranan usrah yang sebenar-benarnya.


Justeru, bahasa yang mudah yang boleh disebutkan adalah, hadirnya kita ke usrah sebenarnya adalah untuk diingatkan oleh naqib usrah kita supaya, kita berpegang teguh kepada ajaran agama Islam dan tidak lari menyimpang jauh daripadanya.

Apa yang cuba saya sampaikan di sini adalah, timbulnya usrah, bukanlah semata-mata nak menambahkan lagi kelas-kelas agama yang telah tersedia ada dan kalaupun ia menjadi tambahan, ia tidaklah salah.

Namun, apa yang saya mahu para pembaca faham di sini adalah, jika kita menganggap datang ke usrah rugi, kerana sudah tersedia kelas-kelas agama di luar sana dan ia adalah lebih baik daripada datang ke usrah adalah suatu kesilapan. Ia juga sebenarnya adalah sesebuah kekeliruan yang cuba saya jawab pada hari ini.

Itulah dia peranan usrah yang sebenarnya.

Ia mengajak para ahlinya duduk seketika bersama-sama, dan menghidupkan kembali ruh di dalam hati agar ingat semula peranan dan jati diri ahlinya sebagai seorang muslim.

Di dalam perkumpulan itu para naqib akan mengajak ahlinya untuk memposisikan kembali hatinya tegak dan lurus di atas jalan Islam.

Berkmungkinan kita kadang-kala sibuk dengan urusan dunia seperti urusan kerja, belajar ataupun urusan keluarga, sehingga kadang-kala menyebabkan hati kita kering dan lupa akan halawatul iman iaitu kemanisan iman di dalam beribadah dan beramal.

Sekali lagi ingin saya menegaskan bahawa, usrah ini bukanlah sebuah halaqah ilmiah semata-mata.
Tetapi, ia adalah halaqah mauidzah ataupun halaqah imaniah, yang mana naqibnya dan juga ahlinya bertemu dan berkumpul untuk sama-sama saling mengingatkan kembali peranan dan tujuan hidupnya sebagai seorang "muslim" yang sejati.

Dan, untuk mengingatkan sesiapa pun peranan hidup sebagai seorang muslim tidak memerlukannya untuk memiliki ijazah sarjana di dalam bidang agama. Apa yang penting adalah kesedaran dan keikhlasan seorang muslim kepada muslim yang lain untuk meningatkan antara satu sama lain.

Di situlah juga beza di antara pendakwah dan ulama.


Pendakwah tidaklah semestinya seorang ulama, akan tetapi seorang ulama itu semestinya dan seharusnya memainkan peranannya sebagai seorang pendakwah.

Kerana, melakukan dakwah adalah tanggungjawab setiap muslim.

Manakala, mencapai tahap menjadi seorang ulama Islam adalah mengikut kemampuan seorang muslim itu di dalam menuntut ilmu Islam.

Kenapa saya menyebutkan hal ini?

Kerana, naqib atau murobbi usrah itu, tidaklah semestinya seorang ustaz atau seseorang yang memliki sijil di dalam ilmu agama. Boleh jadi, dia adalah seorang jurutera, doktor, akauntan, tokey kedai ikan atau juga seorang pelajar.

Boleh jadi, ahli usrahnya adalah orang lebih mengetahui akan perihal agama lebih mendalam dari para murabbinya. Namun, apakah situasi tersebut menyalahi prinsip usrah?

Sama sekali tidak.

Kerana, apa yang berlaku adalah naqib atau murabbi usrah itu adalah pendakwah, dan dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim untuk menyuruh dan mengajak kepada kebaikan dan pada masa yang sama, mengajak anak-anak usrahnya untuk menjauhi sebarang bentuk kemunkaran dan maksiat, melalui platform USRAH.

Itulah dia peranan USRAH!

Jika tasawwur (persektif) kita terhadap usrah hanyalah sebuah majlis taklim atau majlis ilmu, iaitu majlis yang sekadar menambahkan pengetahuan kita tentang agama sahaja, maka itu adalah sebuah kesilapan.

Yang lebih penting bagi sesebuah majlis usrah adalah, refresh iman, dan ukhwah.

Menghidupkan kembali iman-iman yang lemah dan layu, serta merapatkan kembali ukhwah islamiah di kalangan ahli usrah.

wallahualam.

bersambung...


16.9.2019
Mohd Hakimi Bin Lockman.

***

Kosa kata :
1. Murabbi - Pendidik, orang yang mengendalikan usrah.
2. Pendakwah : Individu yang mengajak kepada Islam.
3. Ulama : Individu yang menguasai ilmu Islam secara mendalam. Ulama pada hari ini juga dikenali sebagai individu yang mampu berijtihad dan mengeluarkan fatwa.
4. Tasawwur : Perspektif, atau cara kita memandang dan menggambarkan sesuatu perkara.
5. Majlis taklim : Majlis ilmu, taklim itu bermaksud pengajian.
6. Halaqah : Bulatan, sesuatu perkumpulan yang biasa dilakukan dengan keadaan duduk membentuk bulatan.
7. Mauidzah : ejaan bahasa arabnya (موعظة) yang bermaksud peringatan sepertimana yang disebutkan di dalam surah an-nahl (موعظة الحسنة) mauidzatul hasanah yang bererti peringatan yang baik.

***

InshaAllah, selepas ini mungkin kita akan membahaskan berkenaan konten-konten yang selalu dibincangkan di dalam usrah dan juga saya masih berhutang untuk menjawab persoalan daripada artikel pertama berkenaan tajuk ini.




Comments

Popular posts from this blog

Lirik | KeredhaanMu (In-Team)

Kepentingan Niat yang Jelas.

Pulang dan Kembali.