Saya bukan ustaz




Ini adalah suatu dilema yang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini. Apabila masing-masing mengaku seorang muslim , namun berlaku sesuatu di dalam diri mereka dimana, mereka hilang perasaan dan jiwa beragama.

Ini kerana, dunia pada hari ini terlampau luas bidang ilmunya. Dahulunya, pengetahuan hanya terbatas kepada sesiapa yang pernah belajar dan mendapat periwayatan daripada mereka yang pernah mendengar ilmu tersebut.

Namun, pada hari ini, ilmu dan pengetahuan bukan lagi sesuatu perkara yang asing di dalam kehidupan. Zaman sekarang merupakan sebuah zaman dimana, terdapat begitu banyak sekali sumber-sumber dan bantuan-bantuan serta sokongan untuk mencapai sesebuah ilmu.

Berkembangnya ilmu maka berkembanglah juga bidang dan jenis pekerjaan. Selalunya, pekerjaan dikaitkan dengan kepakaran seseorang. Dengan yang demikian, nyatalah apabila seseorang menjadi doktor, maka sudah tentu sekali dia dikatakan orang yang paling pakar di dalam bidang perubatan.

Tetapi, bagaimana pula dengan kerjaya seorang ustaz?

Seorang memang ternyata seorang yang pakar di dalam bidang agama. Akan tetapi, suatu persoalan yang bermain di fikiran saya, adakah ini merupakan suatu keadaan yang akan menghalalkan masyarakat awam untuk mengambil sambil lewa akan isu-isu agama.

Perlu diingat dan difikirkan kembali,
Apakah itu agama?
dan Apakah pula tuntutannya?
Serta apakah yang sepatutnya dilakukan?

Bukankah telah nyata bahawa agama itu merupakan kehidupan, agama itu merupakan suatu cara hidup bagi seorang manusia.

Agama yang saya maksudkan di sini, tidak lain dan tidak bukan ialah agama Islam.

Mendalami dan memahami agama Islam, bukanlah sebuah tuntutan bagi seorang ustaz atau ustazah sahaja. Bahkan, ia merupakan tuntuan bagi setiap orang yang mengaku Islam dan beriman dengan segala apa yang terkandung di dalamnya.

"Tapi, saya sibuk dan tiada masa yang banyak untuk menguasai Islam seperti para ulamak dan mujtahid".

Sekiranya itu masalah yang saudara hadapi, paling kurang pun, saudara tidaklah mengenepikan isu-isu asas di dalam Islam, terutamanya isu akidah.

Di dalam isu akidah, ustaz ataupun tidak kita tidak boleh kompromi dan mengambil ringan. Tapi, kalau di dalam masalah fiqh, adalah lebih baik merujuk kepada yang lebih arif dan lebih pakar.

Bagi mereka yang bukan ahli di dalam bidang agama, di antara perkara asas yang saya cadangkan untuk merujuk kepada usul 20 yang telah dicadangkan oleh Imam Hassan al-Banna berdasarkan situasi masyarakat hari ini.

Dan, di antara perkara yang perlu dipegang sebaiknya ialah perkara berikut,

"Islam adalah menyeluruh, mencakup semua bidang hidup; Islam adalah
negara dan watan atau pemerintah dan ummat. Akhlak dan kekuatan atau
rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan
kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah
atau tentera dan fikrah. Akidah yang benar dan ibadat yang sah" (sumber)

Untuk keterangan yang lebih lanjut, boleh rujuk di link di bawah untuk perkara-perkara yang berkaitan dan keterangan yang lebih jelas .

Usul 20 , Imam Hassan Al-Banna

Kesimpulannya, walaupun anda bukan seorang ustaz, anda tetap merupakan seorang muslim yang bernaung di bawah payungan Islam. Sebuah agama yang menjanjikan kebenaran dan rahmat terhadap penganutnya. Mengabaikan asas di dalam hidup umpama pokok yang rapuh akarnya, tidak akan tumbuh subur.

"bagi kamu agama kamu, bagi ku agamaku"

(Surah al-Kafirun)

Comments

Popular posts from this blog

Lirik | KeredhaanMu (In-Team)

Kepentingan Niat yang Jelas.

Pulang dan Kembali.