Kisah seorang lelaki dan baldi merahnya.
Pada suatu hari, di sebuah kawasan rumah.
Tinggal seorang lelaki di sebuah rumah. Beliau menjalani kehidupan
tidak seperti orang yang hidup di zaman moden.
Sistem pengairan rumahnya tidak menggunakan paip, dapurnya pula
tidak menggunakan gas.
Sungguhpun kehidupannya kelihatan daif, beliau bukanlah seorang
yang malas, bahkan rajin dan kuat bekerja.
Sekiranya beliau ingin menggunakan air, beliau mengangkut air
daripada sebuah perigi yang agak jauh dari rumahnya.
Sepanjang beliau hidup, hanya baldi merah itu sahajalah yang beliau
gunakan untuk mengangkut air. Walaupun, baldi tersebut sudah kelihatan uzur,
beliau tetap menggunakan baldi tersebut.
Sejak akhir-akhir ini, beliau selalu mendapat bekalan air yang sedikit
dek baldi yang digunakan itu, sudah tidak mampu lagi menampung keseluruhan isi
yang ada kerana terdapat bahagian-bahagian kecil yang bocor. Namun, beliau
tidak pernah merasa sedih.
Sehinggalah pada suatu ketika, ketika beliau hendak ke perigi untuk
mengisi air, beliau terdengar sebuah bunyi. Beliau amat hairan dengan bunyi
tersebut. Bunyi seperti orang yang sedang menangis. Padahal, apabila beliau
melihat di persekitaran kawasan rumahnya, tidak terdapat seseorang pun.
Akhirnya, beliau menemui siapakah yang berbunyi seperti orang yang
sedang menangis. Rupa-rupanya, baldinya yang sedang menangis.
“Apakah kamu kesedihan wahai baldi?”. Tanya si lelaki tersebut.
“Ya, saya amat sedih dengan apa yang berlaku sekarang”. Jawab baldi
merah itu.
“Apakah yang berlaku?”
“Dahulunya, saya mampu untuk berbakti kepada kamu. Saya dapat
membahagiakanmu apabila kamu mendapat bekalan air yang cukup untuk keperluan
seharian. Namun, disebabkan tubuhku yang kian uzur, kamu hanya mendapat sebahagian
kecil sahaja daripada bekalan air yang dan menyebabkan banyak keperluanmu tidak
dapat dipenuhi.” Sahut baldi merah itu dengan penuh kesedihan.
“Dan kini, saya rasa, saya patut dibuang dan digantikan dengan
baldi yang lebih baik”. Tambahnya lagi.
“Mari sini, saya tunjukkan sesuatu.” Kata si lelaki tersebut.
Si lelaki membawa baldi merah itu melalui jalan yang sering dilalui
untuk mengangkut air.
“Wah, cantik sungguh bunga-bunga di sini!”
“Tahukah kamu, wahai baldi merah, sebenarnya bunga-bunga di sini
tidak akan tumbuh cantik dan mekar tanpa adanya diri kamu.”
“Apa maksud kamu?” Si baldi merah kehairanan.
“Air-air yang tumpah dari bahagian tubuhmu itulah yang menyirami
bunga-bunga di sini sehingga ia dapat tumbuh dengan indah dan berseri-seri.”
“Apakah benar?! Allahu akbar, sungguh tidak kusangka, tubuhku yang
kian uzur ini, masih lagi mampu memberikan sesuatu yang cantik dan indah.
Kusangakakan diriku ini sudah tidak ada lagi kepentingan di dunia ini.”
Maka, hilanglah kesedihan yang kian dirasai si baldi merah tersebut dan
sedikit demi sedikit kegembiraan mulai hadir ke dalam dirinya.
Pengajaran:
Sesungguhnya, setiap yang diciptakan di dunia ini, telah ditentukan oleh Allah peranannya, hatta lalat sekalipun.
Oleh itu, tidak perlulah merasa terlalu merendah diri sekiranya terdapat kekurangan pada diri anda, kerana masih lagi terdapat ramai insan di luar sana sejak lahir lagi sudah mendapat ujian dan cubaan dari Allah SWT. Akan tetapi, mereka masih mampu lagi berbakti dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Sedihnya, kita yang telah dijadikan cukup dan lengkap ini, masih lagi gagal untuk memberikan sesuatu yang bermakna walau sekecil biji benih.
"Sebaik-baik manusia, ialah mereka yang mampu memberi manfaat kepada manusia yang lainnya."
*cerita ini hanyalah adaptasi daripada kisah motivasi yang pernah didengari penulis daripada ceramah motivasi.
Di sebalik pahitnya sesebuah dugaan, adanya juga keindahan sesebuah hasil. |
Comments
Post a Comment