Ikhlas atau tidak aku ini?



"Zaim, aku rasa aku buat amalan seolah-olah tidak ikhlas lah. Di hadapan orang sahaja aku rasa bersemangat untuk beramal."

"Kalau macam itu, adakah engkau mahu berhenti beramal?"

"Eh, tidaklah sehingga ke tahap itu. Cuma, aku ragu-ragu adakah aku ini hipokrit atau mudah ceritanya, munafikla..."

"Kassim, sebenarnya hanya engkau dan Allah sahaja yang tahu keikhlasan engkau beramal. Apapun, ada perbezaan sebenarnya amal kebajikan orang yang ikhlas dan orang yang berpura-pura."

"Oh yeke, apakah ia?"

"Ikhlas ini, memanglah suatu perkara misteri. Aku, engkau dan kita semua tidak dapat menjangka dengan tepat apakah hakikat keikhlasan yang sebenar. Namun, ada satu petanda yang engkau boleh kira bahawa engkau benar-benar ikhlas melakukan sesuatu amal."

"Petanda?"

"Ya, petanda. Tapi, ia bukanlah ukuran yang tepat, sekadar sesuatu yang mampu menenangkan engkau, seandai engkau mencari-cari erti sesebuah keikhlasan. Sebagai contoh, apakah amal engkau meragui keikhlasanmu setelah melaksanakannya?"

"Contohnya, aku kalau dengan kawan-kawan yang sesama usrah ni, rasa bersemangat solat berjemaah dan membaca al-Quran. Padahal sebelum tu, aku ini, bukanlah jenis kaki masjid."

"Kassim, ketahuilah, hidayah Allah itu mampu hadir pada bila-bila masa sahaja. Mungkin, berkat kawan-kawan engkau yang seusrah itu menyebabkan timbul ketenangan di hati engkau untuk solat berjemaah dan membaca al-Quran."

"Kalau begitu apa yang boleh aku jamin bahawa amalan aku itu ikhlas?"

"Seandainya engkau terus menerus istiqamah sesudah itu, maka di situlah yang menjadi bukti bahawa engkau sebenarnya bukan ikhlas terhadap ibadah yang engkau lakukan itu, bahkan engkau sebenarnya ikhlas untuk mengubah diri engkau daripada kurang baik, kepada keadaan yang lebih baik."

"Jadi, engkau hendak menyatakan bahawa istiqomah itu petanda sesebuah keikhlasan?"

"Ya, itulah yang aku maksudkan. Namun, bukan itulah petandanya semata-mata. Ianya cuma sebahagian sahaja dari petandanya. Banyak lagi ukuran-ukuran lain yang boleh diletakkan untuk menguji keikhlasan seseorang. Cukuplah aku menyatakan pada engkau bahawa tanda keikhlasan seseorang itu di dalam beramal ialah dia terus-menerus beramal dan istiqomah dengan amalnya sekalipun dia di dalam keadaan yang berat mahupun ringan. Semoga hatimu tenang menerima jawapan tersebut."

"Baiklah Zaim, aku memahami apa yang engkau cuba sampaikan. Mulai saat ini, aku akan cuba untuk membuktikan aku ikhlas di dalam beramal kepada Allah taala. Betapa tenangnya hatiku di saat aku bertemu dengannya, lebih-lebih lagi ketika bersolat."

"Bagus kalau begitu Kassim, aku mengharapkan engkau dapat melakukan seluruh amal dengan ikhlas dan jujur. Moga-moga amalmu juga diterima Allah taala."

"Terima kasih kawan."

"Sama-sama." 

Comments

Popular posts from this blog

Lirik | KeredhaanMu (In-Team)

Kepentingan Niat yang Jelas.

Pulang dan Kembali.