Majukah kita sebenarnya?

Terinspirasi untuk menulis tajuk ini dari post yang bekenaan.



Pada hari ini, secara umumnya tentu sekali ramai dari dalam kalangan kita yang mengukur kemajuan dari segi kehebatan perancangan bandar, binaan-binaan bangunan yang mencakar langit dan juga kecanggihan teknologi yang terkehadapan.

Namun, ramai juga yang tidak sedar bahawa di sebalik ukuran-ukuran tersebut hanyalah sebuah kemajuan yang berbentuk material. Padahal, kemajuan material bukanlah sebuah kemajuan yang boleh menjamin keamanan sesebuah negara.

Negara-negara yang kita boleh kategorikan sebagai maju dan hebat dari segi kemajuan teknologi dan pembangunan seperti Amerika Syarikat, Jepun, Russia, Britain dan banyak lagi negara lain. Namun, negara yang disebutkan tadi merupakan negara yang kita sedia maklum, kita berasa kagum dan takjub sekalipun kita tidak pernah ke sana.



Beginikah kemajuan yang dimaksudkan?


Disebabkan dunia pada hari ini mempromosikan kepada seluruh penduduknya bahawa negara yang memiliki kemajuan dari segi teknologi dan pembangunan serta ekonomi, maka ramailah yang berlumba-lumba menuju ke arah tersebut dengan harapan mereka tidak ketinggalan mencapai tahap yang sedemikian. Mereka percaya seandainya mereka tidak mencapai tahap kemajuan sedemikian, mereka akan menjadi suatu bangsa atau negara berada di kedudukan yang rendah.

Akan tetapi, kefahaman tersebut telah mengelirukan ramai manusia. Akhirnya, manusia sanggup melakukan apa jua cara untuk maju dan hebat di dalam kemajuan yang disebutkan tadi sehingga mengenepikan nilai-nilai kemanusiaan dan, berlakulah berbagai kerosakan.

Boleh jadi, kerosakan itu berlaku kerana eko-sistem yang terganggu disebabkan hutan-hutan banyak ditebang, sungai-sungai tercemar dan udara yang kotor dan tidak bersih serta habitat haiwan yang dimusnahkan dan banyak lagi kaitan dengan alam.

Dari sudut lain, berlaku juga kerosakan daripada kefahaman terhadap kemajuan yang disebutkan tadi akibat tiadanya usaha-usaha ke arah pembangunan dan kemajuan jiwa, syakhsiah dan moral manusia itu sendiri.

Seandainya sebuah negara yang penuh dengan kecanggihan teknologi dan pembangunan yang hebat itu dipenuhi dengan penjenayah bertaraf antarabangsa mahupun penjenayah-penjenayah kecil dan juga manusia-manusia yang rosak akal fikirannya, maka negara tersebut sebenarnya sedang tenat dan ibarat bom jangka. Pada bila-bila masa sahaja boleh meletup dan hancur.

Sehebat manapun teknologi pada hari ini dicipta bertujuan untuk mengekang jenayah berlaku, tetapi tiada usaha mendidik manusia menjaga dirinya dengan akhlak yang benar-benar mulia, maka sudah tentunya alat teknologi tersebut hanya menjadi sebuah pembaziran dan sia-sia, malahan tidak berguna.

Hakikat keamanan yang mampu dikecapi oleh manusia di dalam sesebuah negara yang didiami, hanyalah boleh berlaku dengan ramainya manusia yang mampu faham bahawa dia mestilah hidup di dalam keadaan saling hormat-menghormati dan berakhlak dengan semulia-mulia akhlak. Barulah keamanan dan kebahagiaan tersebut dapat dikecapi, sekalipun ketiadaan kamera pintar dan apa-apa jua bentuk alat teknologi yang memakan kos belanja puluhan juta untuk menciptanya demi keselamatan negara.

Di dalam buku yang bertajuk Langkah Bermula, karangan Ustaz Abu Ammar, pada tajuk "Golongan Baik yang Dihancurkan", Seorang sahabat bernama Saidina Umar R.a pernah ditanyakan.

“Adakah sesebuah negeri itu boleh musnah padahal ia makmur maju?”

Beliau menjawab: “Ya, apabila orang-orang jahat menguasai orang-orang
baik.”

Maka, sedarilah bahawa seandainya kita berlumba-lumba ke arah kemajuan demi mendapatkan kehidupan yang lebih baik, maka kemajuan akhlak itulah yang lebih utama.

Tiada kehidupan yang lebih baik melainkan kehidupan yang aman dan bahagia. Kehidupan dimana seluruh manusia beriman kepada Allah SWT, menundukkan diri kepadanya serta taat dan berakhlak dengan akhlak yang sangat terpuji. Bahkan, syariat Islam juga terlaksana. 

Apakah maknanya sebuah negara dinobatkan sebagai negara yang maju dan hebat, namun pada masa yang sama, rasuah dan penipuan masih berleluasa, remajanya menghadapi masalah gejala sosial, sistem keluarga yang rapuh dan tidak kukuh, hiburan yang berleluasa sehingga seluruh rakyatnya leka dan tenggelam di dalam kelalaiannya tersebut?

Wallahualam.

P/s : Saya tidak bermaksud untuk menafikan usaha ke arah kemajuan sesebuah negara dari sudut teknologi dan pembangunan. Cuma, pos ini sebagai suatu peringatan buat kita agar tidak mengabaikan pembangunan akhlak dan syakhsiah di samping pembangunan teknologi dan binaan.









Comments

Popular posts from this blog

Lirik | KeredhaanMu (In-Team)

Kepentingan Niat yang Jelas.

Pulang dan Kembali.