Masa, tanggungjawab dan kewajipan.



Demi masa,
Sesungguhnya manusia kerugian,
Melainkan,
Yang beriman dan yang beramal soleh..

(Baca dengan nada menyanyi lagu Raihan).

-Dipetik dari lagu nasyid Raihan berkenaan masa yang berinspirasikan surah al-Asr.

Berkata seorang tokoh pejuang Islam,

"Sesungguhnya kewajipan seseorang Muslim itu melebihi masa yang ada."

Berdasarkan apa yang telah disebutkan, menunjukkan kepada kita seolah-olah 24 jam yang telah dianugerahkan Allah taala kepada kita masih lagi bukan sesuatu yang cukup.

Namun, seandainya kita perhatikan di dalam diri kita, tentunya kita tertanya-tanya, apakah lagi yang masih lagi harus diisi?

Padahal, terasa bosan pula yang hadir. Apa lagi yang aku nak buat?

Saya berminat untuk bertanya kepada mereka (baca : Muslim) yang benar-benar terasa bosan. Apakah anda telah melakukan perkara-perkara tersebut di dalam kehidupan seharian anda?



  1. Solat fardu berjemaah di awal waktu dan dilakukan di masjid.
  2. Solat sunat rawatib yang dilakukan samada sebelum atau selepas solat fardu.
  3. Solat-solat sunat seperti solat duha atau solat taubat.
  4. Membaca wirid seperti wirid al-mathurat pada pagi dan petang
  5. Menghabiskan bacaan al-Quran sebanyak 1 juzuk
  6. Membaca atau menuntut ilmu
  7. Menziarahi kawan-kawan.
  8. Membaca berita-berita semasa.
Seandainya anda telah perkara-perkara yang demikian, saya boleh ucapkan syabas, kerana anda memenuhi sebahagian hari di dalam kehidupan anda dengan  bermanfaat dan juga memelihara sedikit-sebanyak kekuatan iman anda.

Namun, itu masih lagi tidak cukup. Kerana perkara yang saya sebutkan tadi hanyalah bersifat nafsiah, iaitu perkara-perkara yang berkait rapat terhadap diri anda sendiri.

Anda juga harus memikirkan di dalam kehidupan seharian anda, berapa banyakkah masa yang telah anda luangkan untuk memberi manfaat kepada manfaat kepada masyarakat di sekelililng anda?

Anda perlu memahami bahawa hidup ini saling memerlukan. Hidup anda tidak akan mampu menjadi sempurna tanpa bantuan orang lain. Anda sendiri pun, dilahirkan oleh ibu anda dan disara oleh bapa anda atau penjaga anda. Anda mendapat ilmu dari seorang guru. Banyak lagi contoh yang menunjukkan hidup kita saling memerlukan.

Persoalannya, apa pula yang mampu kita beri dan apa pula kaitannya dengan masa?

Seandainya anda merasakan anda masih mempunyai kekosongan masa atau masih terdapat lagi sikap suka membazir masa seperti bermain game, menghisap rokok, terlampau melayan lagu, menonton movie, atau duduk termenung dan berangan panjang (berangan benda yang sia-sia), eloklah ianya diisi dengan aktiviti-aktiviti kemasyarkatan yang boleh mengharmonikan kehidupan.



Seandainya sudah bosan dengan perkara yang biasa, cubalah cipta perkara-perkara baru (yang tidak melanggar syarak), yang boleh memberi manfaat kepada diri anda dan juga masyarakat.

Namun, kewajipan yang dimaksudkan oleh tokoh pejuang Islam yang saya nyatakan tadi, boleh jadi maksudnya ialah kewajipan berdakwah dan mendidik masyarakat Islam.

Jika anda benar-benar faham, bahawa sesungguhnya kewajipan berdakwah ini bukanlah sebuah kewajipan yang diletakkan di atas bahu baginda SAW sahaja ataupun para nabi yang terdahulu. Akan tetapi ia merupakan sebuah kewajipan yang diletakkan di atas pundak seluruh umat nabi Muhammad SAW.

Kewajipan yang diperintahkan ini, adalah demi memastikan agama Islam ini sentiasa tertegak di atas muka bumi ini, Hanya dengan berdakwah, ruh Islam itu akan sentiasa hidup. Seandainya ia terhenti dan tiada lagi insan yang rela menggalasnya, maka tidak mustahil bala bencana akan datang menimpa pada bila-bila masa.

Pada masa yang sama, suka untuk saya mengingatkan bahawa Islam tidak memerlukan kita dan sememangnya demikianlah hakikatnya. Namun, kitalah sebenarnya yang memerlukan Islam.

Ketamadunan manusia yang berkembang pada hari ini adalah kefahaman manusia terhadap Islam.



Seandainya, tiada agama Islam di atas muka bumi ini, nescaya umat manusia akan terus tenggelam di dalam cahaya kegelapan dan dihanyut arus jahiliyah. Hidup menjadi tidak menentu dan kucar-kacir.

Setelah Allah taala mengutuskan baginda SAW membawa sinar hidayah, maka berubahlah corak kehidupan manusia.

Dan setelah sekian lama Islam bertapak di atas muka bumi ini, maka umat pula semakin jauh daripada pegangan dan kefahaman Islam yang asal. Disebabkan oleh, asakan yang tidak henti-henti daripada musuh-musuh yang menyerang Islam dari sudut pemikiran mahupun ekonomi dan juga ketenteraan.

Maka, setelah kita memahami situasi yang sedemikian, tugas kita pula untuk tampil kepada masyarakat, terutama masyarakat yang beragama Islam untuk berdakwah dan menyedarkan mereka bahawasanya mereka harus kembali kepada cara hidup yang benar iaitu cara hidup yang selari dengan apa yang telah digariskan oleh Islam.

Seterusnya, mendidik generasi-generasi baru agar mereka mampu untuk diharapkan dan boleh menjadi tiang untuk masa hadapan yang lebih gemilang.

Cuba kita amati generasi yang hidup pada masa kini, yang berada di hadapa mata kita, adakah mereka ini mampu memberi jaminan kepada kita bahawa, pada masa akan datang, mereka mampu mentadbir dunia ini dengan penuh kemakmuran? Kalaulah mereka pada hari ini masih lagi disuap dan dihidangkan dengan hiburan yang melampau dan berlebihan, apakah itu yang boleh mendidik mereka untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang?

contoh realiti harini.





Saya serahkan persoalan tersebut sebagai renungan untuk kita sama-sama fikirkan dan membuka minda kita. Mungkin kita sendiri ada jawapan yang lebih baik?

Nah, demikianlah apa yang saya faham dan mengerti berdasarkan apa yang dikatakan oleh tokoh pejuang Islam tersebut.

Adakah nampak kaitannya?

Sekali lagi saya nyatakan apa yang dikatakan,

"Sesungguhnya, kewajipan seseorang Muslim itu melebihi masa yang ada".

Apakah anda merasakan bahawa kewajipan yang telah saya nyatakan tadi, mampu diselesaikan dalam yang singkat. Sehari atau dua hari. Seminggu? Setahun?

Sekiranya anda masih lagi tidak memahami apa yang saya telah coretkan, moga-moga Allah memberi anda hidayah.

Sedarlah, hakikatnya setiap hari kita tidak mampu untuk duduk dan berehat secukupnya.

Sedarlah, bahawa dakwah ini merupakan kewajipan setiap orang yang tidak akan terangkat sehinggga ke hari kiamat.

Sedarlah, bahawasanya tiada amal soleh yang lebih utama daripada berdakwah.

Akhir sekali, sedarlah, bahawa masa yang ada untuk kita menyempurnakan dakwah ini tidak akan pernah cukup.

Sebelum itu, mulakanlah dengan diri anda sendiri dan juga persiapkanlah ia untuk keluarga dan masyarakat.

Orientasikanlah masa hidup anda sebaiknya, agar anda tidak termasuk di dalam kalangan orang-orang yang rugi.

Wallahualam.





Comments

Popular posts from this blog

Lirik | KeredhaanMu (In-Team)

Kepentingan Niat yang Jelas.

Pulang dan Kembali.