Nilai Timbangan Akidah. Adakah yang Lebih Utama?



"Seorang hamba perempuan yang beriman adalah lebih baik daripada seorang perempuan musyrikin."

Dimanakah agaknya akan anda jumpa kenyataan ini?
Kenyataan ini sebenarnya diadaptasi di dalam al-Quran. Di sebuah ayat yang menceritakan hukum-hakam perkahwinan. Di dalam ayat tersebut, menceritakan bagaimana bolehnya seorang muslim berkahwin dengan seorang perempuan musyrikah (kafir yang menyembah berhala) seandainya dia bersetuju untuk beriman dan menganut agama Islam.

Namun, Allah menyatakan bahawasanya perempuan yang beriman, sekalipun dia dari dalam kalangan hamba, maka dia adalah lebih mulia dan utama kedudukannya berbanding dengan segala jenis perempuan seandainya dia cantik, kaya dan berharta, baik pula budi pekerti, namun tidak beragama Islam dan tidak beriman kepada Allah swt.

*****

"Kamu adalah sebaik-baik umat yang keluar dari kalangan manusia, menyuruh kepada kebaikan, mencegah kemunkaran dan beriman kepada Allah. Dan kalaulah ahli kitab itu beriman, nescaya kamu lebih baik dari mereka. Dari kalangan mereka ada yang beriman akan tetapi sebilangan besarnya adalah fasiq."

Kenyataan ini juga telah direkodkan di dalam al-Quran. Sekiranya diperhatikan, kita akan mendapati setelah Allah SWT menyatakan kepada kita bahawa umat Islam adalah sebaik-baik umat kerana melakukan amar maaruf dan nahi munkar, suatu lagi kelebihan yang ada pada umat Islam ialah keimanan mereka kepada Allah SWT adalah tulen dan benar. Bukanlah dibuat-buat atau direkacipta.

Dahulunya, Allah SWT telah mengangkat yahudi sebagai kaum yang paling mulia. Namun, dicabut kemuliaan mereka kerana keingkaran mereka kepada Allah SWT. 

Kalaulah disebutkan kemuliaan yang diberikan itu dicabut, ia memberikan maksud kepada kita bahawasanya, sangat besar kesilapan yang telah dilakukan oleh bangsa yahudi. Antara kesilapan yang paling besar mereka lakukan sebenarnya ialah memanipulasikan kefahaman agama mereka dengan mengubah kitab yang telah diturunkan kepada mereka. 

Mereka juga telah mengaku bahawa Uzair itu adalah anak Allah. Sangat besar kemurkaan Allah terhadap perbuatan mereka.

Apa yang saya ingin highlight-kan daripada kenyataan al-Quran tadi, berkenaan umat yang mulia ialah, semua orang mampu untuk menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kepada kemunkaran. Bahkan, kalaulah ada suatu golongan atau kumpulan ditubuhkan bagi melakukan pekerjaan seperti ini, nescaya mereka akan diangkat oleh masyarakat.

Namun, ada seperkara lagi yang Allah hendak mengajarkan kepada kita ialah, yang membezakan kedudukan di antara semuanya ialah iman dan akidah. 

Orang kafir yang menjalankan amar maaruf nahi munkar semestinya berbeza dengan muslim yang melakukan sedemikian. Anda sendiri mampu melihat perbezaannya.

Seorang muslim, itu memang telah dipupuk di dalam kefahaman asas agamanya bahawa, amar maaruf nahi munkar itu merupakan tanggungjawab setiap orang. 

Mereka pastinya tahu hadis baginda yang menyebutkan :

"Barangsiapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemunkaran, hendaklah dia mencegah dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu mencegah dengan tangannya, hendaklah dia mencegah dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman."

"Barangsiapa yang menunjukkan sebuah kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sepertimana si pelakunya."

Namun, bagi orang kafir pula, titik tolak untuk mereka melakukan amar maaruf nahi munkar hanya sekadar melalui kesedaran yang tersedia ada. Bahkan, kemunkaran yang dapat mereka tolak pun, pasti ada batasnya. Lebih-lebih lagi kemunkaran syirik, apakah mereka mampu menolaknya?

Kerana itu, Allah SWT tidak sekadar menyebutkan umat yang terbaik, hanyalah sekadar mampu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kepada kemunkaran sahaja, akan tetapi juga mereka yang beriman kepada Allah SWT.

*****

Disini, dapat disimpulkan, bahawasanya nilai kemuliaan seseorang manusia atau suatu kaum itu bukanlah terletak pada kekayaan, kecantikan dan pekerti budi yang mulia semata-mata. Apa yang lebih besar dan utama ialah akidah yang dipegang dan dianuti.

Seandainya akidahnya ialah akidah yang benar, iaitu Islam, maka itu sudah cukup untuk menjadikannya mulia. Berapa besar nilainya, hanya Allah SWT yang lebih mengetahui.

Kalaulah timbul persoalan hendak membandingkan antara seorang muslim yang jahat dan seorang kafir yang adil, itu kita akan cerita lain kali.

Sehingga ke hari ini, agak ramai masyarakat keliru dan hilang pertimbangan di dalam melihat cara pergaulan dan layanan terhadap manusia.

Ada segelintir masyarakat muslim yang lebih sanggup untuk tidak bersama dan bermusuh dengan muslim sendiri. Akan tetapi, mampu bersangka baik dan bertolak ansur dengan orang kafir.

Ini suatu pertimbangan yang agak bahaya. 

Apa yang saya cuba sampaikan di sini ialah kita harus berpegang kepada nilai ketinggian akidah yang telah disebut-sebut di dalam al-Quran.

Mengapa kita perlu ragu untuk meninggikan syiar Islam, sedangkan Islam itu adalah agama yang paling benar?

Mengutamakan timbangan yang lain, selain dari timbangan akidah, maka ia hanya akan mengundang kemudaratan dan kerosakan yang lebih besar. Cukuplah bangsa yahudi sebagai pengajaran.

"Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu, di sisi Allah ialah orang-orang yang paling bertaqwa di dalam kalangan kamu semua."




*Minta maaf kerana tidak menyatakan sumber secara terperinci kerana ingin menjadikan bacaan ini sebagai bacaan yang ringkas. Anda boleh rujuk al-Quran dan juga kitab-kitab hadis berdasarkan kenyataan yang saya sebutkan. Apa yang telah saya tuliskan adalah kefahaman asas yang saya pelajari dari kefahaman dakwah berdasarkan buku-buku fiqh dakwah yang saya baca dan saya bincangkan di dalam usrah dan daurah."





Comments

Popular posts from this blog

Lirik | KeredhaanMu (In-Team)

Kepentingan Niat yang Jelas.

Pulang dan Kembali.