Fear Kills Dream




Ketakutan itu akan membunuh impian!

Benar atau tidak? 

Terpulang pada kita untuk menentukannya. Samada mahu mengiyakannya ataupun menafikannya.

Tanyalah kepada diri kita sendiri, sampai bilakah agaknya mahu ragu-ragu dan teragak-agak di dalam melakukan sesuatu?

Sampai bilakah lagi mahu menunggu dan membiarkan masa berlalu?

Setiap hari dan setiap masa, akan sentiasa ada insan-insan yang mencium hadiah kejayaan. Namun, apa pula yang telah kita kecapi?

Apa matlamat yang telah kita letakkan di dalam hidup kita?

Sejauh mana usaha kita untuk meletakkan usaha dan kesungguhan kita untuk mencapai matlamat tersebut?

Setiap hari, kita sentiasa diberi pilihan. Mahu berjaya atau gagal? Mahu mengikut petunjuk atau sesat?

Segala-galanya berada di dalam genggaman kita. Mahu atau tidak sahaja?

Kita tidak perlu menunggu masa yang sesuai yang mencipta sebuah kejayaan. Kitalah, yang perlu memulakan dan mencipta sebuah peluang untuk mencapai sebuah kejayaan!

Seandainya, kita terus-menerus menyerah kalah setiap hari, ditakuti, kita mati sebagai seorang yang gagal. Takut-takut, kita mati sia-sia.

Mulai sekarang, bangun! 

Bangun menuju cita-cita yang kita impikan selama ini.
Bangun dengan penuh tekad dan keazaman menggapai mimpi.

Belajarlah untuk merealisasikan sesuatu yang kita namakan sebagai mimpi selama ini.

Orang yang melakukan kesilapan, adalah orang yang sedang mencuba sebenarnya, Sedangkan, orang yang tidak pernah melakukan kesilapan, adalah orang yang tidak pernah melakukan apa-apa sebenarnya.

Mereka sangka, mereka bahagia. Walhal, mereka hidup di dalam mimpi dan khayalan. 

Masa kehancuran akan menimpa mereka apabila tiba waktunya.

Anda yang sedang berusaha, tetapi masih tetap gagal, ingatlah, bahawasanya nilai kejayaan itu hanya akan dihargai oleh orang yang benar-benar bekerja keras demi meraihnya.

Orang yang memperoleh sesebuah kesenangan tanpa melalui sebuah kepayahan tidak akan memahami erti sebuah kenikmatan.

Ibarat orang yang hidup di sebuah negara yang selalu hujan dan tidak pernah kemarau, tidak akan pernah merasai nikmatnya air.

Mulakan langkah anda hari ini. Mulakanlah ia dengan diri anda.

Mulakan membaca buku, menghafal al-Quran, menulis, membuat video, berniaga, mengajar, mendidik, membantu orang, membuat perancangan 10 tahun akan datang. 

Masa yang diperuntukkan adalah sangat suntuk.

Jangan buang masa di facebook, twitter, whatsapp, telegram. Jangan buang masa melayan komen-komen yang tidak membina. Jangan buang masa menonton video yang tidak berfaedah. Jangan buang masa membaca mesej yang sekadar di-forward tanpa sumber yang sahih.

Ambillah mana-mana kelas atau kursus kemahiran. Kalau tidak sanggup, carilah kerja. 

Ingat, tiada siapa yang mampu menentukan hidup anda melainkan diri anda sendiri. Allah SWT sudah memberi anda kebebasan untuk memilihnya. Allah SWT sudah memberi petunjuk yang lengkap di dalam al-Quran dan juga apa yang dibawa oleh baginda ar-Rasul SAW.

Maka, pilihlah sendiri. 

Ibubapa anda hanya mampu berada bersama pada segenap masa. Kawan-kawan anda juga, mempunyai cita-cita mereka tersendiri. Saudara-mara anda pula, ada kehidupan yang mereka lalui.

Seandainya, anda masih lagi tetap mahu duduk, berangan dan takut untuk keluar dari zon selesa, maka rasalah bagaimana diseksa dengan azab kemalasan yang menyusahkan.

Sampai suatu masa nanti, anda akan menyesal.

Jangan biarkan hidup anda dikelilingi penyesalan, hanya kerana sikap anda yang tidak matang.

Ingatlah, cabaran, bukanlah momokan untuk menakut-nakutkan anda mengejar kejayaan. Cabaran adalah guru yang akan mendidik anda menuju kejayaan. Cabaran adalah cikgu yang akan mengajar anda erti sesebuah kejayaan.

Anda mahu berjaya tanpa cabaran. Anda sebenarnya tidak berpijak di atas bumi yang nyata. Anda masih lagi tidak matang dan bersifat kebudak-budakan. 

Orang macam andalah yang akan mudah ditipu, diperdaya dan digunakan.

Semoga anda meletakkan takut itu adalah sebagai musuh anda, bukan sebagai kawan.
Kawan anda yang sebenar adalah kesusahan. Itulah sejujur-jujur kawan yang wujud di sisi anda sebenarnya.
Sedangkan, kesenangan, tidak habis-habis menipu anak-anak adam.


Semoga Allah memberi kekuatan.




Wallahualam.







Comments

Popular posts from this blog

Lirik | KeredhaanMu (In-Team)

Kepentingan Niat yang Jelas.

Pulang dan Kembali.