Pendakwah dan Dunia Semasa.




Seringkali ramai orang melakukan dakwah dan tarbiah. Keluar dan menyeru serta mendidik manusia agar menjadi manusia yang mampu menyebarkan kebaikan ke seluruh dunia.

Harapannya tinggi melangit. Mengharap agar seluruh pelusuk menerima seruan yang agung ini. Mana tidaknya, ganjaran yang dijanjikan sangat besar dan mahal. Bahkan, telah ramai yang mati demi di atas jalan ini.

Kadang-kala, ada juga masanya apabila si penyeru itu sibuk menyampaikan dan menyampaikan tanpa mengira apa yang berlaku di sekelilingnya. Menyebabkan dakwahnya tidak kelihatan berkembang atau erti kata lain, tiada perubahan dan peningkatan mutu dan kualiti.

Lebih teruk lagi, dia tidak mengambil kira, apa yang disampaikannya itu, benar-benar suatu keperluan bagi masyarakat tersebut ataupun tidak dan bertambah bahaya, apabila dia menyangka bahawa apa yang dilakukannya itu adalah benar, sedangkan dia telah merugikan tenaga dan masanya.

Apakah yang boleh difahami daripada apa yang telah saya nyatakan di atas?

Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah, bagaimanakah seseorang itu berdakwah, mengajak kepada Islam, akan tetapi, dia tidak tahu langsung apa perkembangan semasa yang berlaku kepada dunia Islam itu sendiri.

Apabila ditanyakan kepadanya isu-isu semasa berkenaan apa yang berlaku kepada umat Islam pada masa kini, dia hanya mampu menggeleng tidak tahu. Menunjukkan bahawa dia tidak mengambil kisah apa yang sedang berlaku di dunia pada hari ini.

Turut sama, perkara yang ingin ditekankan ialah, sebagai seorang manusia yang merasakan bahawa dirinya sedang menyeru manusia untuk memahami Islam secara sempurna, hendaklah dia menjadi orang yang cakna dan sedar terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya. 

Dia tahu apa yang berlaku kepada umat Islam di negaranya dan apa ancaman yang kian melanda negaranya sehingga mampu membahayakan agama Islam itu sendiri. Dia juga tahu, apa yang terjadi kepada umat Islam di negara lain.

Pointnya mudah dan berulang iaitu, mengambil kira hal keadaan seluruh muslim di seluruh dunia. Dan, saya amat menekankan perkara ini kepada para pendakwah.

Anda dan saya, kita semua yang mempunyai asas kefahaman dakwah adalah sangat beruntung kerana diberikan keizinan oleh Allah untuk mengecapi nikmat ini. Kita harus sedar bahawa kitalah yang akan menjadi agen yang menyebarkan kepada masyarakat perihal berkenaan apa yang berlaku kepada dunia, terutama terhadap perkembangan Islam.


Masyarakat tentu sahaja membaca akhbar dan menonton berita, namun itu masih lagi belum cukup untuk menyatakan bahawa mereka sudah mengambil berat perkembangan umat Islam. Kerana, kebanyakan dari mereka mengikuti perkembangan berita sekadar ingin tahu sahaja apa yang berlaku pada semasa.

Sedangkan, mereka yang telah dihidangkan dengan kefahaman dakwah, pastinya menyedari, segala apa yang berlaku terhadap dunia hari ini, menuntut untuk bersiap-sedia dengan segala macam tindakan yang mendatang.

Cuma, apabila pendakwah ini tadi malas, dan leka terhadap keadaan semasa, maka apa akan masyarakat terima berkenaan Islam, tidak akan lebih dari perkara asas sahaja. Sedangkan, musuh-musuh Islam telah melancarkan serangan yang bertubi-tubi terhadap umat Islam sehingga telah menggoyangkan akidah.

Sebagai contoh, kita lihat di suatu tempat, dimana masyarakat tersebut telah diracuni dengan pemikiran liberal yang merbahaya. Namun, pada masa yang sama, datang pendakwah yang tidak mengetahui isu yang berlaku di tempat tersebut, menyampaikan perkara yang tiada langsung kepentingan untuk melawan serangan tersebut seperti menceritakan perihal kebersihan, kebahagiaan rumah tangga dan sebagainya.

Bukanlah tidak bagus, akan tetapi ia tidak menyelematkan masyarakat tersebut dari perangkap serangan yang demikian. Maka, terhinggaplah penyakit dari serangan tersebut yang akhirnya merosakkan akidah dan pemikiran.

Sebagai suatu pesanan, cuba tanya di dalam diri kita,

"Apakah aku ini serius berdakwah?"

Andai kita benar-benar serius, maka tidak boleh tidak untuk kita sentiasa sedar dan cakna dengan perkembangan semasa.

Janganlah jadi pendakwah ibarat katak di bawah tempurung. Belajarlah untuk mempertingkan prestasi dakwah agar usaha yang kita lakukan ini, benar-benar melayakkan kita untuk mendapat syurga firdaus.

"Seriuskah kamu hendak berdakwah?"

Comments

Popular posts from this blog

Lirik | KeredhaanMu (In-Team)

Kepentingan Niat yang Jelas.

Pulang dan Kembali.