Di Sebalik Nilai Seseorang yang Berilmu Pengetahuan.

Semakin tinggi ilmu seseorang, sepatutnya semakin dekat kepada Allah SWT.









Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman,

إنما يخشى الله من عباده العلماء
Mafhumnya bermaksud :

Sesungguhnya , hanyalah yang benar-benar takut terhadap Allah SWT ialah para hambanya dari dalam kalangan ULAMA.

Setiap hari, kita tentunya biasa mendengar bahawa ramai orang senantiasa berusaha untuk mengingatkan para manusia untuk senantiasa terus-menerus belajar dan menuntut ilmu sebanyak mungkin. Selagi ada masa dan kekuatan, selagi itu menuntut ilmu.

Umat Islam tentunya faham secara jelas dan nyata, bahawa golongan yang memiliki ilmu tinggi di dalam ilmu agama, digelar sebagai seorang ulama.

Bererti, apabila seseorang itu digelar sebagai seorang ulama, maka secara automatiknya fikiran akan menggambar sebuah susuk tubuh yang kaya dengan ilmu dan pengetahuan. Andai ditanya apa jua persoalan, mampu dijawab dengan mudah dan pantas. Andai bercakap di hadapan dan mengajarkan masyarakat, tentunya seorang yang petah kata-katanya dan tinggi hujahnya.

Maka, itu adalah adalah kayu ukur yang selalunya diletakkan oleh kebanyakan manusia. Akan tetapi, apabila merujuk kepada kalamullah, ia seolah-olah jauh berbeza sepertimana yang dijangkakan.

Cuba kita fikirkan sejenak, mengapa Allah SWT tidak menyatakan ciri-ciri khusus hamba yang takutkannya ialah orang soleh, atau orang yang banyak berpuasa, atau orang yang banyak memuji Allah, atau orang yang menyatakan dengan lidahnya, bahawa dia takutkan Allah?

Kalau menurut ciri-ciri selain ulama yang saya senaraikan tadi, boleh jadi apabila kita berhadapan dengan mereka, kita tentunya akan terdetik,

"MashaAllah, inilah agaknya orang yang takutkan Allah".

Nampaknya, ada sesuatu yang Allah SWT hendak mengajarkan kepada kita.


***

Pernah suatu ketika, saya ada bersembang bersama-sama seorang kawan ketika di sebuah karnival pameran buku yang saban tahun diadakan di Mesir.

Pada masa tersebut, kawan saya mengeluarkan sebuah kenyataan mengkritik buku tafsir al-Quran yang bertajuk, Fi Zilalil Quran (Di Bawah Naungan al-Quran) karangan as-Syahid Sayyidd Qutb Rahimahullah. Dia menyatakan ,

"Tafsir Fi Zilalil Quran bukanlah sebuah kitab tafsir, ia hanyalah sebuah kitab yang menyatakan istifadah daripada al-Quran".

Kemudian  dia meneruskan lagi,

"Tafsir ini, hanyalah tafsir bi ra'yi (tafsiran al-Quran secara umum tanpa menurut disiplin tafsir yang sebenar)".

Maka, apa yang terdetik di fikiran saya, seolah-olah kawan saya ini berniat untuk menyatakan bahawasanya tafsir Fi Zilalil Quran bukanlah sebuah tafsir yang layak untuk menjadi pegangan umat Islam. Hanya kerana dakwaannya tafsir ini sebagaimana yang cuba digambarkan daripada kenyataannya, tidak mengikut disiplin tafsir yang sebenar.

Untuk pengetahuan, tafsir yang mengikut disiplin tafsir disebut sebagai tafsir bil ma'thur. Contohnya, kitab tafsir yang dikarang oleh ulama-ulama tafsir yang mu'tabar seperti Imam al-Qurtubi.

Setelah mendapatkan kenyataan yang sedemikian, saya berasa hairan. Saya hairan, apa yang menjadi masalahnya kalaulah apa yang ditulis oleh as-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah itu sesuatu yang kosong. Kerana, saya melihat sendiri di hadapan mata saya, mereka yang sudah membaca dan menelaah kitab ini, menyatakan bahawa pandangan mereka terhadap dunia ini menjadi berbeza.

Bahkan, pengalaman saya membaca kitab ini sendiri, menampakkan keteguhan pegangan as-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah terhadap akidah Islamiah. Penulis kitab tafsir ini, sedaya-upaya menyampaikan kepada pembaca bahawa tiada pendirian yang layak untuk berdiri tegak di atas muka bumi ini, melainkan yang tunduk dan taat kepada Allah SWT dan kalimahnya serta Rasulnya SAW.

Betapa tegasnya ia menyatakan pendiriannya, sehinggakan ada yang menganggapnya bersifat melampau dan berlebihan. Seakan-akan menjadikan manusia mudah bertukar menjadi kafir hanya kerana tergelincir sedikit pegangan akidahnya.

Maka, disebabkan beberapa perkara telah saya fahami seperti saya nyatakan, saya cuba untuk membahasakannya di dalam sebuah kenyataan yang ringkas. Saya menjawab kenyataannya dengan mengatakan,

"Memanglah dia bukan kitab tafsir, tapi kitab tafsir yang ditulisnya adalah untuk mendidik hati. Kalau tafsir lain, mungkin sekadar ilmiah. Boleh jadi, kalau sekadar ilmiah, dia tidak mendidik hati".

Perbincangan kami terhenti, dan kami meneruskan perjalanan mencari kitab.


***


Setelah, berakhirnya perbincangan tersebut, saya pun memikirkan kembali, apakah benar apa yang saya katakan tadi?

Lalu, terlintas di fikiran saya. Apakah gunanya sesuatu ilmu, andai ia tidak mampu mengubah hidup kita?

Apakah maknanya, seandainya kita mempunyai beratus-ribu sijil dan pencapaian akademik yang mungkin juga cemerlang dan terbilang, namun masih lagi menjadikan hidup kita sama keadaan seperti 10 tahun yang lepas dan juga, orang di sekeliling kita tidak mendapat apa-apa manfaat.

Luqman al-Hakim pernah mengatakan secara mafhumnya,

Orang yang menuntut ilmu tetapi tidak mengamalkannya, seumpama orang yang mengutip kayu api dan meletakkan di atas bahunya dan dia tidak menggunakan pun kayu api tersebut. Bahkan, semakin banyak di kutip, dia hanya semakin memberatkan dirinya.

***

Pada hari ini, berapa ramai orang yang menuntut ilmu, bahkan memiliki pengetahuan ilmu yang tinggi, namun akhirnya tidak menjadi aset untuk umat. Sebaliknya menjadi beban pula kepada umat ini.

Ilmu yang mereka miliki, seolah-olah hanyalah sebuah lesen untuk meletakkan mereka berada di atas kedudukan yang tertinggi di dalam kalangan masyarakat. Pada masa yang sama, merekalah yang kerjanya menipu, memutar-belit, bahkan mengluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak masuk akal dan bertentangan dengan pegangan agama.

Kesannya, masyarakat menjadi pening dan kucar-kacir. Malahan, ada yang menjadi kabur di dalam menilai sesebuah kebenaran. Hanya kerana, kesilapan yang telah dilakukan ahli ilmu yang kononnya dipercayai itu tadi.

Bertambah teruk lagi, apabila masyarakat merasa tersepit kerana sudah tidak lagi nampak harapan yang boleh diletakkan.

Mahu meletakkan ahli ilmu, takut-takut jadi penipu pula.
Mahu meletakkan yang bukan ahli ilmu, takut-takut mudah pula ditipu.


***

Di sinilah, saya berminat untuk menasihatkan, andai anda benar-benar mahu mempelajari dan memahami sesuatu perkara, carilah ilmu yang mampu mengubah hati anda atau, cuba kaitkan apa yang anda pelajari dengan sesuatu yang akhirnya memberi kesan yang baik terhadap hati kita.

Kesan tersebut ialah, kesan yang menjadikan hati kita, lebih tunduk dan taat kepada Allah SWT. Kesan yang yang mampu membebaskan diri kita, daripada ikatan-ikatan dunia.


***

Beberapa kesimpulan dan kaitan yang boleh saya kaitkan dengan ayat al-Quran saya nyatakan di awal perenggan dan penerangan-penerangan yang saya sebutkan.

1. Saya menyatakan bahawa ada sesuatu yang Allah ingin ajarkan kepada kita. Maka, pengajaran terbesarnya ialah, semakin tinggi ilmu seseorang, sepatutnya semakin menjadikannya seorang yang merasai sifat kehambaan dan perasaan takut terhadap Allah SWT.

2. Allah SWT menyatakan ciri utama ulama iaitu orang yang benar-benar bijak dan berilmu ialah yang tunduk terhadap Allah SWT.

3. Antara contoh tempelak Allah SWT terhadap orang yang berilmu tetapi tidak tunduk kepadanya,

- Firman Allah taala :
أفلا تعقلون 

Maksudnya :
Apakah kamu tidak berakal?!

- Firman Allah taala :
أفلا تذكرون 

Maksudnya :
Apakah kamu tidak mengambilnya menjadi peringatan?!

3. Tunduk kepada Allah SWT, adalah sebenar-benar kayu ukut untuk meletakkan kelayakan seseorang menjadi ulama.

4. Ayat ini juga menjadi peringatan yang sangat dalam buat para ilmuan yang memiliki ilmu pengetahuan yang luas untuk mengenggam sebaiknya amanah ini.

5. Usaha untuk menjadi seorang hamba Allah yang benar-benar takutkannya, tidak lain dan tidak bukan ialah usaha meningkatkan ilmu dan pengetahuan. Pada masa yang sama, tidak meninggalkan tanggungjawab mengamalkan apa yang telah dipelajari.

6. Umat yang jahil, akan sentiasa mudah terdedah kepada kesesatan dan kekufuran.

7. Salah satu noktah yang akan menjadikan seseorang yang tinggi ilmunya bertambah tunduk kepada Allah SWT ialah apabila dia menyedari bahawa apa yang dia perolehi semuanya adalah milik Allah. Pada masa yang sama, dia juga sedar akan keluasan ilmu Allah yang tidak mampu ditandingi oleh mana-mana kuasa.

Terakhir, apabila saya mengaitkan perbincangan ini dengan pendirian as-Syahid Sayyid Qutb rahimahullah, ada beberapa perkara yang harus difahami :

a. Apabila seseorang benar-benar menggenggam al-Quran dan menilitinya sedalam-dalamnya, maka dia pasti akan mendapati alangkah berbezanya di antara kehidupan masyarakat yang faham al-Quran dan masyarakat yang tidak memahaminya.

b. Walaupun Sayyid Qutb bukanlah seorang ulama, akhirnya, dia yang berjaya memperolehi sebaik-baik kematian iaitu mati syahid. Sebuah kematian yang tidak menjanjikan apa-apa melainkan syurga. Itulah sebenar-benar nilai sesebuah kejayaan.

c. Mungkin, apa yang ditulisnya tidak dinilai sebagai suatu yang dikira ilmiah, mungkin kerana dia tidak dianggap sebagai seorang yang ahli di dalam bidang tafsir. Akan tetapi, sejauh mana percanggahannya terhadap sumber dan disiplin ilmu tafsir.

d. Bahkan, berapa ramai rijal yang telah berjaya dilahirkan, hasil didikan karya agungnya, Tafsir Fi Zilalil Quran. Maka, keraguan apa lagikah yang perlu kita lemparkan terhadap kitab tafsirnya?




Nota :

Tulisan saya kali ini adalah demi membuka minda kita untuk bersama-sama menilai kembali, sejauh mana usaha kita menuntut ilmu adalah sebuah usaha yang bermanfaat dan berbaloi.

Saya tidak menghalang sesiapa untuk mendalami ilmu yang dia minat, asalkan dia mampu mengaplikasikan ilmunya untuk manfaat umat Islam dan dakwah.

Seharusnya kita faham dan jelas akan tujuan asal kita menuntut ilmu. Kemanakah akhirnya, kita mahu membawa kefahaman ilmu yang telah kita pelajari.

Suatu persoalan, umat Islam khususnya di Malaysia mempunyai ramai golongan yang cerdik pandai, namun mengapa masih tiada lagi solusi untuk mengembalikan kemuliaan Islam di sana?


***


Suatu perkara yang berharga saya dapat daripada kawan saya yang berjalan bersama-sama saya ketika di karnival pesta buku tersebut, dia menyatakan kepada saya, di sinilah kita akan dapat melihat keagungan dan keluasan ilmu Allah.





Wallahualam.


8 Februari 2015, Ahad.
Beyt Ansor.














Comments

Popular posts from this blog

Lirik | KeredhaanMu (In-Team)

Kepentingan Niat yang Jelas.

Pulang dan Kembali.