Berjiwa besar.
Seorang daie mukmin adalah seorang manusia yang berjalan di
atas bumi dengan membawa sebuah agenda yang besar.
Seseorang yang membawa agenda besar tidak akan mampu agenda
tersebut andai dirinya tidak mempunyai jiwa yang besar.
Agenda besar tersebut tidak lain dan tidak bukan cita-cita
untuk menegakkan kalimatul haq di atas muka bumi ini.
Sesungguhnya, usaha tersebut tidak mampu dicapai di dalam
jangka masa pendek iaitu sehari mahupun sebulan apatah lagi setahun.
Berdasarkan situasi di masa kini, dengan keadaan jahiliah
yang merata-rata dan umat yang terlampau mudah dihinggap ancaman musuh,
menyebabkan usaha mencapai agenda tersebut bertambah sukar.
Walaupun baginda saw telah berjaya menegakkan Islam di atas
muka bumi ini setelah 23 tahun berlangsungnya dakwah dengan penuh kegigihan,
akan tetapi usaha untuk mengekalkan kejayaan tersebut bukanlah mudah.
Para sahabat yang menggantikan tugas ini, senantiasa tidak
tidur lena dan tidak berhenti berfikir untuk menghadapi serangan musuh yang
sentiasa datang dari pelbagai arah.
Lebih memeritkan lagi apabila berlakunya persengeketaan
sesama kaum muslimin sendiri sehingga berlakunya pertumpahan darah.
Ini semua sebagai suatu gambaran menunjukkan bahawasanya,
usaha untuk menegakkan Islam di atas muka bumi ini memerlukan rijal yang
bersedia dan sanggup menanggung beban yang berat ini.
Para rijal tidak akan mambu terbina tanpa tarbiah yang
konsisten dari para murobbi.
Maka, secara tidak langsung kita faham bahawa, para rijal
yang beriwa besar ini, tidak lahir tanpa adanya murobbi atau bahasa lainnya,
mentor.
Oleh yang demikian, untuk menjadi seseorang yang berjiwa
besar, tidak boleh tidak untuk kita mempunyai seorang murobbi yang mendidik dan
membina kekuatan kita.
Pada masa yang sama, apa yang perlu kita ubah juga ialah
perspektif terhadap agenda yang kita bawa.
Kita haruslah sedar bahawa, agenda Islam adalah sebuah
agenda yang besar.
Berdasarkan kesedaran ini, persiapkanlah jiwa kita agar
menjadi sebuah jiwa yang kuat dan hebat. Inilah yang dinamakan sebagai jiwa
yang besar.
Jiwa yang besar hanya akan tergugat dengan ancaman-ancaman
yang besar dan menggugat.
Sepatutnya para pemilik jiwa yang besar ini tidak akan
sesekali terusik dengan isu-isu yang remeh dan temeh.
Kalaulah berlaku pun perkara yang sedemikian, ia sepatutnya
mampu diatasi dengan mudah dan baik.
Seandainya mereka yang mengaku memliki jiwa yang besar ini
masih lagi terganggu, terusik dan tergugat dengan perkara-perkara yang kecil,
maka ia bermakna jiwanya masih lagi belum cukup besar.
Para pemilik jiwa yang besar ini akan sentiasa diuji oleh
Allah swt untuk memastikan kekuatan jiwanya benar-benar padu dan jitu. Tidaklah
Allah swt menguji seorang hamba-Nya melainkan ada hikmah yang tersingkap di
sebaliknya.
Penutup :
Masih kurang lagi bilangan umat Islam yang memiliki jiwa yang
besar sehebat Baginda SAW dan para sahabat r.anhm ajmain.
Usaha untuk menegakkan kalimah tauhid di atas muka bumi ini,
masih lagi tersangkut pada usaha membina jiwa-jiwa yang masih lembut dan lalai.
Bagi para individu yang telah tersedar dan nampak akan hal
ini, seharusnya cepat-cepat bertindak dan memulakan langkah dengan sebaik
mungkin.
Kekuatan umat hanya akan terzahir apabila terkumpul bilangan
dan angka besar yang memiliki jiwa yang juga besar.
Asal dari segala kekuatan adalah kekuatan iman dan
pergantungan kepada Allah swt.
Wallhualam.
Comments
Post a Comment