Menyoroti Hakikat Pertembungan

ولن ترضى عنك اليهود ولا النصارى حتى تتبع ملتهم
قل إن هدى الله هو الهدى
ولئن اتبعت أهواءهم بعد الذي جاءك من العلم ما لك من الله من ولي ولا نصير. 

Dan tidak akan sesekali redha yahudi dan nasrani, sehinggalah engkau mengikut telunjuk (agama) mereka, 

katakanlah, sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, 

dan kalaulah engkau mengikuti hawa nafsu mereka setelah datangnya kepadamu ilmu (kebenaran), maka tidak ada bagimu dari Allah pelindung mahupun penyelamat.

---


Seandainya kita melihat dunia pada masa kini, pasti akan kita dapati, sedang berlaku sesuatu pertembungan yang berlaku secara tidak langsung.

Seandainya kita sedar, sudah tentu kita akan nampak bahawa dunia setiap hari masih lagi diselubungi dengan pelbagai persaingan dan pertembungan.

Pertembungan adalah PEPERANGAN.

Itulah kalimah yang lebih mudah untuk kita memahami erti sebenar pertembungan yang dimaksudkan.

Apabila disebutkan peperangan, nescaya apa yang terlintas pada akal dan fikiran kita bahawa peperangan adalah suatu pertarungan yang melibatkan 2 pihak yang mengangkat senjata dan masing-masing menyerang di antara satu sama lain di dalam sebuah medan tempur. Matlamatnya tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menang.

Beza di antara kedua-dua pihak tadi adalah, apa peranan yang mereka mainkan. Samada PENYERANG atau PERTAHANAN.

Dan, perbezaan yang paling KETARA di antara mereka juga, adalah apa yang mereka PERJUANGKAN.

Dan, kalau kita sebutkan tentang perang sepertimana yang telah dinyatakan tadi, sudah pasti kita merasakan bahawa ZAMAN tersebut sudah berlalu. Seolah-olah pada hari ini, sudah tiada lagi atmosfera sedemikian.

Namun, tanggapan tersebut merupakan tanggapan yang DANGKAL.

Adakah perang sudah tamat?

Tidak!

Sama sekali TIDAK!

Perang masih belum tamat dan tidak akan pernah tamat.

Itulah sebenarnya SUNNAH ALAM sepertimana yang telah dinyatakan oleh Allah swt di dalam al-Quran.

Apabila Allah swt menyebutkan bahawa yahudi dan nasrani tidak akan pernah berhenti untuk menarik seluruh manusia untuk tunduk di bawah telunjuk dan kekuasaan mereka, maka hari demi hari dan tahun demi tahun, mereka tidak akan pernah berhenti berusaha untuk mencapai matlamat tersebut.

Bahkan, mereka tidak akan melepaskan sesiapa pun dari genggaman mereka.

Di setiap sudut bumi ini, pastinya mereka akan cuba kawal dan cengkam.

Oleh yang sedemikian, dari hakikat tersebut, pastinya kedua-dua musuh Allah ini, akan menggunakan segala macam taktik dan strategi dan juga cara sehinggalah mereka dapat apa yang mereka mahukan.

Sampailah pada tahap, kalau mereka perlu untuk angkat senjata dan tembak, mereka akan tembak.

Namun, pada masa kini, bukanlah pada setiap negara mereka akan gunakan cara sedemikian. 

Cukuplah pada hari ini, mereka merosakkan jiwa dan pemikiran umat manusia sebagai tanda, mereka mampu berkuasa di atas muka bumi ini.

Serangan yang merosakkan JIWA dan FIKIRAN manusia ini, terutama pada umat ISLAM-lah akhirnya membuatkan mereka semakin berani untuk terus maju di atas agenda mereka.

Apabila jiwa sudah kosong, dan fikiran sudah sesat dan songsang, maka apakah lagi yang boleh memberikan kekuatan kepada umat manusia ini?

Lalu, manusia akhirnya menjadi tidak sedar bahawa mereka telah dijajah secara tidak langsung.

Mereka tidak sedar bahawa cara hidup, cara pandang, cara berfikir, akhirnya tidak lagi mengikut jalan yang benar. 

Mereka tidak sedar bahawa segala apa yang mereka lakukan, rupa-rupanya telah tersimpang jauh daripada ajaran yang betul.

Mereka tidak sedar bahawa mereka telah pun TERIKUT telunjuk yahudi dan nasrani. 

Sehinggalah mereka hairan.
Mereka hairan melihat orang yang tidak hidup seperti mereka.

Mereka hairan kepada orang yang hidup dengan gaya yang pelik yang pada hakikatnya, itulah gaya hidup yang SEBENAR.

Mereka hairan kepada orang yang menuruti ajaran dan kefahaman Islam yang sebenar.

Kalau begitu, apa yang mereka ikut sebenarnya?

Apakah yang yahudi dan nasrani mahukan umat manusia ini ikut sebenarnya?

Sebenarnya secara terang Allah swt menyebutkan,

"..dan kalaulah kamu mengikut NAFSU mereka..."

itulah dia yang hendak disebutkan.

NAFSU.

Para yahudi dan nasrani tidak mahu seluruh manusia di dunia ini tundak, melainkan kepada kehendak hawa nafsu mereka yang hina dan tercela.

Mereka akhirnya mahukan bahawa kehendak hawa nafsu dipenuhi dan bermaharaja lela di atas muka bumi.

Lawan kepada nafsu adalah wahyu.

Ini adalah sepertimana yang disebutkan oleh Abu Ammar di dalam buku Langkah Bermula, bahawa segala perkara yang berlawanan kepada wahyu adalah nafsu.

Dan itulah satu-satunya tujuan utama yang ingin dicapai oleh orang yahudi dan nasrani, apabila mereka beriya-iya mahu para umat manusia untuk duduk di bawah telunjuk mereka.

Mereka hanya mementingkan hawa nafsu mereka sehingga mereka mahukan setiap orang di atas muka bumi ini, berfikir sepertimana cara mereka berfikir.

Lantas, menjadikan seluruh manusia di atas muka bumi ini, menjadi hawa nafsu sebagai MATLAMAT utama kehidupan.

Sedangkan, Allah swt menciptakan nafsu sebagai dorongan kepada manusia untuk melakukan sesuatu, bukannya sebagai matlamat.

Akan tetapi, apabila nafsu yang dijadikan sebagai matlamat, maka di situlah bermulanya titik tolak seseorang untuk melawan wahyu dan melakukan segala perkara yang bertentangan dengan wahyu.

Inilah hakikatnya.

Inilah hakikat yang sebenarnya berlaku.

Inilah yang dikatakan sebagai sunnah pertembungan.

Pertembungan di antara nafsu dan wahyu.

Pertembungan di antara mereka yang menuruti hawa nafsu dan mereka yang mentaati wahyu.

Allah swt menjelaskan kepada kita, seandainya kita masih lagi mahu mengikuti telunjuk yahudi dan nasrani, iaitu telunjuk nafsu, maka Allah swt menyatakan bahawa kita bukanlah lagi berada di sisi Allah swt sehinggalah disebutkan tiada lagi pelindung mahupun pembantu.

Bererti, golongan yang menuruti hawa nafsu ini, pastinya akan tertewas, sekalipun mereka pada hari ini, kelihatan kuat dan berkuasa.

Dan sekali lagi ingin saya tegaskan, bahawa, kita harus sedar, kita masih lagi hidup di atas pertembungan dan peperangan.

Kita sebenarnya masih perlu berjaga-jaga dan bersiap-sedia.

Kita perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kekuatan.

Sebagai persediaan menghadapi pertembungan ini.

Kita harus sedar bahawa kita sebenarnya sedang diserang. Kita masih dijajah, kalaulah akan dan fikiran kita, masih lagi tidak mampu untuk menggarap cara fikir dan cara hidup menurut Islam secara sempurna.

Kita harus berusaha sedaya upaya membebaskan dan menyelematkan diri kita daripada dicengkam oleh kuasa dan telunjuk yahudi dan nasrani.

Sehingga akhirnya, kitalah yang menyelamatkan umat Islam yang lain, daripada turut terbelenggu oleh kuasa yang berasaskan hawa nafsu itu tadi.

Dan seterusnya, menghalang, kedua-dua kuasa itu tadi dari terus mencuba untuk menguasai dunia.

Dari situ, barulah keadilan akan tertegak. Barulah dunia, tidak dikuasai oleh sistem yang berteraskan hawa nafsu. 

Akan tetapi, sistem yang tunduk dan taat kepada wahyu Ilahi.





Comments

Popular posts from this blog

Lirik | KeredhaanMu (In-Team)

Kepentingan Niat yang Jelas.

Pulang dan Kembali.