Rumah Qudwah.

Di dalam konteks kita sebagai seorang akh yang faham islam dan tegar menuruti program-program tarbiyah, terkadang ada sahaja masanya kita melonjak bersemangat dan ada masanya jatuh terkandas.

Betapa kita faham bahawa biah merupakan sebahagian elemen penting di dalam membantu keberjayaan tarbiyah seorang akh.

Dimanakah kita boleh memperoleh biah yang membantu ini?

Tiada tempat lain dan sudah tentunya di rumah ikhwah.

Rumah yang mengumpulkan para daie yang tadinya merupakan seorang akh yang mengikuti tarbiyah dan harakah sesebuah jemaah.

Biah = suasana.

Maka, suasana apakah yang diharapkan pada sebuah sebuah rumah yang kita sebut sebagai 'rumah ikhwah'?

Oleh kerana kefahaman asas tarbiyah adalah berkembang dan sentiasa berlaku sesuatu perubahan yang baik, maka sudah tentunya yang suasana yang diharapkan adalah suasana yang membina dan membentuk peribadi seorang akh.

Ia bukanlah peribadi biasa-biasa. Akan tetapi, sebuah pebadi yang unggul dan hebat.

Sebuah peribadi yang akhirnya, mampu menjadi contoh yang terbaik buat masyarakat.

Peribadi yang secara jelasnya tidak membezakan keadaanya di luar rumah mahupun di dalam rumah.

Peribadi yang juga mampu mengesani sesiapa sahaja yang disentuhnya.

Peribadi ini sentiasa jujur dan amanah dengan apa disebut dan dilakukannya.

Setelah kita memahami sejauh mana peribadi yang ingin dibentuk dari sebuah rumah yang memiliki suasana yang baik dan membina serta mengembangkan perumbuhan seorang akh, lalu apa pula realiti dari suasana yang disebut-sebutkan itu?

Secara asasnya ia tidak lari dari 2 perkara yang penting : 

1. Pembinaan iman yang subur

2. Ikatan ukhwah yang saling menguat di antara satu sama lain.

Mari kita telitikan 2 perkara asas ini :

Pertama : pembinaan iman yang subur.

Tiada kemanisan di dunia ini yang mampu menandingi kemanisan iman. Ia adalah suatu kemanisan yang tidak akan hadir tanpa amal yang benar-benar ikhlas dan menepati kehendak syariat.

Pembinaan ini mampu berjalan apabila berlakunya budaya-budaya yang membangkitkan perasaan kehambaan kepada Allah swt.

Cuba bayangkan apabila setiap kali azan berkumandang, seluruh ahli rumah bergegas menuju ke masjid. Lalu, setelah bersolat subuh, masing-masing berkumpul untuk bermathurat bersama dan diikuti dengan tazkirah yang mengetuk kembali hati-hati lalai dan lemah serta nasihat yang menjadi peringatan serta hadiah buat para akh yang berada di rumah tersebut.

Pada masa yang sama, di waku-waktu kosong, masing-masing menyibukkan diri melaksanakan amal-amal fardi iaitu amal yang bersifat individual seperti membaca al-quran atau menghafalnya, berzikir dan bertasbih kepada Allah swt.

Ada pula yang mengisi masanya dengan mendengar tazkirah-tazkirah dari youtube. Ada pula yang membaca, menulis dan mengukang kaji.

Dari segi dekoratif, rumah tersebut dipenuhi dengan poster-poster yang sarat dengan ayat-ayat al-quran mahupun hadis-hadis pilihan atau kata-kata hikmah dari para ulama.

Begitu hidupnya suasana iman di rumah tersebut sehingga ia menjadikan iman para akh yang berada di dalamnya sentiasa subur dan juga menjadi para akh di sana, memiliki bekalan iman yang padu.

Kedua : ikatan ukhwah yang saling menguat di antara satu sama lain.

Ia adalah ikatan hati. Ikatan yang berhubung bukan kerana apa-apa kepentingan melainkan atas dasar kasih sayang kerana akidah dan persaudaraan.

Apabila terterapnya budaya membina ukhwah dan mengukuhkannya, maka secara tidak langsung akan melahirkan seorang akh yang prihatin dan mengambil kisah akan perihal akhnya yang lain.

Dia bukan sekadar risau akan perihal luaran akh yang tinggal serumah dengannya, malahan ia juga akan mengambil kira perihal dalaman akhnya seperti isu iman dan syakhsiah.

Akhirnya, akan terjadi budaya saling mengambil-berat dan juga tanasuh iaitu budaya nasihat-menasihati antara satu sama lain.

Masing-masing faham bahawa setiap nasihat yang diberikan, tidak lain dan tidak bukan adalah menyelamatkannya dari tergelincir ke lembah kebinasaan.

Malahan, masing-masing akan sedaya-upaya untuk saling memperbaiki dan memperelokkan diri dari masa ke semasa.

Lebih indah apabila sikap terbuka mampu menjadi sebuah budaya, dan masing-masing senantiasa tidak memiliki masalah untuk berterus-terang serta menyambut apa yang dinyatakan dan menguruskan segala apa yang timbul dengan baik.

Kalaulah suasana ukhwah di dalam rumah ikhwah benar-benar bersifat saling menguatkan, maka sudah tentulah sepatutnya segala urusan rumah yang bersifat teknikal mampu diurus dengan baik dan tidak menjadi suatu isu yang perlu dibesar-besarkan.

Ia terjadi apabila sikap tafahum (saling memahami) dan sikap takaful (saling membantu) mampu berjalan dengan baik.

Dan, inilah suasana ukhwah yang diharapkan terdapat pada sebuah 'rumah ikhwah'.

Selain itu, selain kita mengejar suasana-suasana yang membantu meningkatan keberjayaan tarbiyah seorang akh, suasana tadi lebih mudah untuk dicapai apabila seorang akh memahami bahawa rumah yang didiaminya, bukanlah sekadar rumah biasa. 

Akan tetapi, apabila akh tersebut memahami bahawa rumah yang didudukinya merupakan sebahagian dari markaz-markaz atau pusat-pusat dakwah bagi masyarakat yang berdekatan dengannya, maka secara natural, ia sepatutnya ada suatu cara fikir untuk membentuk rumahnya menjadi sebuah rumah qudwah.

Dan rumah tersebut juga sentiasa disibukkan dengan aktiviti-aktiviti dan program-program yang menjurus kepada perkembangan tajmik dan pengkaderan.

Sentiasa di sana, apabila para tetamu yang hadir ke rumah tersebut mendapati bahawa dirinya seolah-olah berpijak pada pintu hidayah apabila bertandang. Dia merasakan suatu luar dari kebiasaan dan merasakan kelainan akan kehadirannya ke rumah tersebur berbanding rumah-rumah yang lain.

Sehingga akhirnya dia pulang dengan pengharapan ingin memiliki sebuah rumah yang mempunyai suasana yang sama dengan rumah yang diziarahinya.

Begitulah 'rumah ikhwah'.

Ia mengidupkan jiwa-jiwa yang menetap di dalamnya, dan mengesani masyarakat di sekelilingnya.















Comments

Popular posts from this blog

Lirik | KeredhaanMu (In-Team)

Kepentingan Niat yang Jelas.

Pulang dan Kembali.