Mengimani Hakikat Perubahan.








"Sesiapa yang ingin berdakwah, mestilah beriman bahawa PROSES PERUBAHAN harus berlaku secara BERANSUR-ANSUR."


Dakwah merupakan suatu proses penyeruan kepada masyarakat dan umat untuk kembali kepada Islam. Kembali mengimani dan beramal dengan Islam dengan sebenar-benar kefahaman. 
Percaya bahawa Islam itu syumul dan mencakupi seluruh aspek kehidupan.
Bahkan, merasa terancam dan risau apabila Islam itu tidak berjaya dipraktikkan secara syumul.

Maka, ketikamana berlakunya proses ini, ia tidak lari daripada terkait dengan sebuah unsur yang penting iaitu PERUBAHAN.

Perubahan yang terbesar yang diharapkan adalah membebaskan jiwa daripada dihambakan oleh HAWA NAFSU kepada menghambakan ALLAH SWT, tuhan yang sebenar-benarnya.

Perubahan inilah yang membezakan kehidupan seseorang dengan seorang yang lainnya.

Namun, usaha menerapkan perubahan ini, menjadi suatu cabaran yang amat besar pada hari ini. Sebabnya, JAHILIYAH pada hari ini, bukan sekadar berleluasa dan bermaharajalela, bahkan ia menyerap masuk ke dalam generasi dengan penuh tersusun dan terancang.

Ini yang akhirnya menatijahkan jiwa umat pada hari ini sangat rapuh dan mudah dihanyut oleh arus jahiliyah yang sangat DERAS. Jahiliyah telah menyerang umat dari segenap sudut dan aspek kehidupan.

Seandainya umat hari ini tidak dirawat dengan cara yang tepat, maka boleh jadi rawatan tersebut hanyalahh sia-sia dan tidak memberikan kesembuhan dari SERANGAN ini.

Inilah agaknya kenapa Baginda SAW pernah menyatakan secara mafhumnya berkenaan iman umat di akhir zaman,
"..Mereka beriman pada waktu pagi, namun kembali kufur pada waktu petang.."


***

Kerana itulah kita harus faham, bahawa apa jua perubahan yang berlaku secara drastik dan sekelip mata tidak akan membuahkan apa-apa hasil yang baik. Bahkan kalau berjaya sekalipun, ia tidak akan bertahan lama kerana ia seolah-olah tidak cukup matang dan tidak cukup masak.

Hasil yang sebeginilah yang tidak sepatutnya berlaku. Kita mengharapkan perubahan tersebut adalah perubahan yang mampu mempengaruhi perubahan-perubahan yang lain.

ITULAH PERUBAHAN YANG SEBENAR.

Ia bukan sekadar bersifat luaran dan tempelan. Ia mempasak dan berakar umbi.

Ia tidak sekadar tetap dan terkurung di sesuatu tempat. Akan tetapi, ia merebak dan tersebar ke keseluruhan kawasan dan lapangan.

INILAH PERUBAHAN YANG SEHARUSNYA DILAKUKAN OLEH PARA DAIE!

Mereka, bukan sekadar mengubah masyarakat untuk menjadi baik dan soleh serta masing-masing sekadar beramal untuk diri sendiri.

Akan tetapi, para DAIE seharusnya berusaha mengubah masyarakat agar mampu menjadi suatu kelompok yang mengubah dan mempengaruhi masyarakat yang lain.

INILAH CABARAN YANG HARUS DITEMPUHI!

Maka, DAIE yang ingin membentuk masyarakat yang sedemikian, tidak akan mampu melakukannya sehari dua. Tidak cukup dengan satu atau dua ceramah secara umum. Tidak cukup dengan sekadar laungan-laungan kosong.

Ia memerlukan masa yang panjang.

Ia memerlukan strategi yang tersusun.

Dan, yang paling utama ia memerlukan KESABARAN yang amat TINGGI.

Para DAIE tidak boleh memaksakan perubahan tersebut dan bersikap terburu-buru.

Andai ia tetap juga dilakukan, maka tidak mustahil ia bukan sekadar mendatangkan KEGAGALAN dalam dakwah, bahkan boleh menimbulkan FITNAH terhadap dakwah.

Samada fitnah terhadap masyarakat yang menerima dakwah, mahupun fitnah diri DAIE itu sendiri.

Fitnah terhadap masyarakat :
- Mereka membenci dakwah 
- Mereka menjadi ekstrim

Fitnah terhadap DAIE :
- Putus-asa dan lemah semangat
- Keras kepala dan sombong.

Oleh kerana itu, para DAIE seharusnya faham dan merenungkan beberapa perkara :

1. Apakah tujuan sebenar dia melakukan dakwah?

2. Sejauh mana cita-citanya terhadap dakwah?

3. Dakwah itu dilihat pada usaha bukannya hasil.

4. Ganjaran dakwah tidaklah layak untuk dibayar di dunia, akan tetapi di akhirat sana iaitu SYURGA.

5. Jalan dakwah itu sangat panjang dan jauh. Boleh jadi, kita baru sahaja menjejakkan kaki di pintu gerbang dakwah.

6. Dakwah bil hal, iaitu dakwah dengan menyelesaikan masalah umat, dan bukan sekadar berkata-kata sahaja.


***


Ingatlah, 
"Buah yang ranum hanya dipetik selepas ianya benar-benar masak. Manakala, tiada apa yang boleh dirasa pada buah yang mentah melainkan pahit dan kelat."

Kita tidak akan merasai buah yang ranum, yang benar-benar masak, melainkan setelah kita bersabar menungggu sehingga tiba masanya.

Di waktu tersebut, tugas kita membaja dan mengair masih lagi tidak terhenti.
Harus terus-menerus melakukannya sehinggalah sampai masanya.

Begitulah seharusnya dakwah berjalan. 

Kita akan terus-menerus menyampaikan dan memberikan kefahaman kepada umat secara beransur-ansur dan konsisten. 

Sehinggalah ia mengesani jiwa, ruh dan perasaan umat itu sendiri.

Dan seterusnya menggerakkan mereka untuk menghidupkan kembali agama ini.



***


Akhir sekali, marilah sama-sama kita memahami bahawa, cita-cita dakwah ini tidak seharusnya menjadi sebuah cita-cita yang bersifat peribadi dan individualistik.

Kita tidak mahu, ia hanyalah sekadar menjadi hasrat SESEORANG.

Akan tetapi, kita mahukan ia menjadi sebuah cita-cita bagi sebuah UMAT.

Kalaulah ia cuma sekadar cita-cita SESEORANG, maka andai dia MATI, maka matilah cita-cita ini.
Namun, jika ia menjadi cita-cita sebuah UMAT, maka ia akan terus diperjuangkan dari masa ke semasa sehinggalah hari kiamat.

BERBAHAGIALAH DUNIA INI KERANA WUJUDNYA PARA DAIE yang BERSABAR.








Mohd Hakimi Bin Lockman.





Comments

Popular posts from this blog

Lirik | KeredhaanMu (In-Team)

Kepentingan Niat yang Jelas.

Pulang dan Kembali.