Dakwah akan sentiasa berjalan.

Ada satu benda yang kita kena ingat dalam dakwah adalah,

"Apabila kita tidak melakukan dakwah, akan ada orang lain yang akan buat kerja dakwah".

Ya, dan saya meyakini perkara tersebut.

Ingatlah, dakwah tidak akan pernah rugi apa-apa dengan ketiadaan kita,
tetapi, kitalah yang rugi kerana tidak melakukan dakwah semasa kita masih hidup.

Kalau kita tidak mencegah kemunkaran, ada orang lain yang akan mencegahnya,
kalau kita tidak mengajak kepada kebaikan, akan ada orang lain yang melakukannya.

Akan tetapi, bukanlah itu menjadikan alasan untuk kita melepaskan diri dari menggalas tugas menyampaikan dakwah. Sebaliknya, menyedari perkara tersebut seharusnya memberikan tamparan buat diri kita.

Lebih-lebih lagi, jika kita sudah banyak membaca, banyak mempelajari Islam, selok-belok dakwah, mendengar ceramah dan menuntut ilmu, lalu kita membiarkan segala apa yang kita tahu itu berlegar-legar di dalam diri kita sahaja dan tidak menyampaikannya kepada orang lain.

Kenapa kita kita patut rasa malu dan bersalah apabila menyedari hal ini?

Kerana sepatutnya fikrah yang kita fahami seharusnya terlebih dahulu kita yang terkehadapan di dalam menyampaikannya. Namun sebaliknya, fikrah orang lain yang terlebih dahulu kehadapan disebabkan kita tidak melakukan amal-amal dakwah.

Lebih menakutkan lagi, jika fikrah yang bukan Islami terlebih dahulu sampai kepada masyarakat seperti liberal, sekular, lgbt dan sebagainya.

Dunia setiap hari berputar dan bergerak,
Begitulah juga dakwah dan seruan di atas muka bumi ini.

Tidak akan pernah berhenti di atas muka bumi apa jua bentuk seruan dan dakwah.

***

Tulisan ini saya tujukan buat diri saya dan juga sesiapa yang memahami dakwah, tarbiah dan juga fikrah Islam.

Untuk sesiapa juga yang kadang-kadang terlupa dan futur, dan juga yang merasakan malas dan sudah tidak mahu lagi berada di atas jalan dakwah ini dan mula meletakkan diri di dalam masyarakat sebagai orang biasa.

Sekali-sekala untuk kita bermuhasabah dan juga mengetuk pintu hati kita.

Jalan dakwah ini mungkin sukar dan payah. Banyak halangan yang terpaksa tempuhi termasuklah kehendak kita.

Banyak kehendak kita yagn terpaksa kita korbankan demi keberjayaan jalan dakwah ini.

Cuma, sampai suatu masa, apabila kita sudah tidak mahu lagi beramal di atas jalan dakwah, tamparlah diri kita dengan kenyataan ini.

Sekali lagi, ingatlah, kalau kita tidak melakukan dakwah, dakwah tidak rugi apa-apa.
Dakwah akan tetap berjalan. Sentiasa akan ada di sana golongan yang Allah swt pilih untuk melaksanakan dakwah.

وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ
"Dan Allah (swt) akan sentiasa menyempurnakan cahaya-Nya".

***

Apa yang saya nak sebutkan juga sebenarnya di sini adalah, dakwah tidak memerlukan kita. Akan tetapi, kitalah yang memerlukan dakwah.

Kita yang memerlukan amal dakwah untuk kehidupan kita.

Amal dakwah bukanlah sebuah amal yang sia-sia, bahkan ia lah yang sebenarnya menjadikan hidup kita lebih bermakna dan berharga.

Orang yang tidak hidup melakukan dakwah, suatu sudut mungkin, dia akan dapat meluangkan banyak masa untuk diri dan keluarganya. 

Mungkin dia melakukan solat, membaca al-Quran, memberikan sedekah dan melakukan bakti kepada masyarakat.

Nampak macam hidup yang simple dan  bahagia. Tidak perlu sibuk-sibuk memikirkan strategi dakwah dan mengutamakan diri untuk orang lain.

Akan tetapi setakat itu sahajalah hidupnya.

Orang yang melakukan dakwah, (bukanlah bermakna dia lebih mulia dari siapa-siapa) , walaupun dia menghadapi kepayahan dan terpaksa mengorbankan banyak benda atau paling tidak dia harus menyibukkan diri dengan masyarakat, namun apa yang dilakukannya walaupun tidaklah mencapai matlamat seratus-peratus, Allah swt akan tetap mengira amal dan usahanya, selagi mana dia ikhlas dan jujur terhadap amal dakwahnya.

Yang lebih menarik adalah, apabila berlaku kesan dan perubahan di dalam masyarakat ke arah yang lebih positif. 

Apakah kesan itu berlaku secara tiba-tiba?

Sama sekali tidak ! Pastinya di sana ada yang mengambil peranan secara langsung mahupun tidak langsung di dalam menyampaikan dakwah dan mendidik masyarakat.

Perkara ini mungkin tidak akan disadari ketika proses tersebut berlaku, (iaitu proses dakwah).

Akan tetapi, ia akan disadari apabila masyarakat tersebut membentuk budaya hidup yang positif dan mengikut kefahaman Islam yang syumul.

Disini, kita boleh juga merenung, 
Adakah kita orang yang terlibat di dalam usaha tersebut atau kita orang yang memencilkan diri dan menyibukkan diri kita dengan urusan kita sendiri?

Adakah kita pada masa tersebut sekadar menjadi orang yang menyaksikan peristiwa atau orang yang mencipta peristiwa?

Perkara yang saya sebutkan ini bukanlah perkara rekaan.

Tidak perlu jauh-jauh, kita lihat sahaja sendiri di negara kita Malaysia, bagaimana keadaan Islam pada hari ini?

Contohnya bangsa kita bangsa Melayu yang sinonim dengan keislamannya, tidaklah berlaku secara tiba-tiba.

Mungkin kita lahir-lahir sudah Islam, kerana ibubapa kita sudah Islam.

Akan tetapi Islamnya mereka juga adalah kerana Islamnya moyang kita.

Bagaimana moyang kita diislamkan?

Tidak lain dan tidak bukan pastinya ada yang telah menyampaikan Islam kepada mereka.

Dan, disebabkan mereka yang menyampaikan Islam kepada moyang kitalah akhirnya kita Alhamdulillah, pada hari ini dapat menerima nikmat Islam.

Di Mesir juga sebenarnya adalah salah satu contoh kesan dakwah dan kesan mereka yang melakukan dakwah.

Disebabkan kesan dakwah di Mesir oleh sahabat baginda SAW, Amru Al-As, masyarakat mesir bukan setakat menukar agama mereka kepada agama Islam, bahkan menukar bahasa mereka yang asalnya bukan bahasa arab kepada bahasa arab.

Beruntunglah mereka yang berdiri teguh di atas jalan dakwah dan istiqomah (konsisten) melakukanya sehingga akhir hayat mereka.

***

Menangnya dakwah samada matlamat tercapai ataupun mendapat pahala kerana usaha yang gigih di dalam menyempurnakannya.

Sepertimana menangnya mereka yang berjihad samada menang melawan musuh ataupun mati syahid di jalan Allah.

Wallahualam. Semoga Allah swt memberikan kita taufiq dan hidayah dan memandu kita untuk bergerak di atas muka bumi dengan keredhaan-Nya.

Mudah-mudahan kita akan terus bergerak melakukan dakwah walaupun dengan kapasiti yang besar mahupun sedikit.

Mudah-mudahan kita diganjari oleh Allah swt.

27.9.2019
Mohd Hakimi Bin Lockman.
Insan yang tidak terlepas dari melakukan kesalahan.


Comments

Popular posts from this blog

Lirik | KeredhaanMu (In-Team)

Pulang dan Kembali.

Kepentingan Niat yang Jelas.