Tazkirah #1

Ada orang yang hidupnya bermatlamatkan dunia,
Ada orang yang hidupnya bermatlamatkan akhirat.

Mana satu yang lebih baik?

Yang terbaik adalah yang mampu mengimbangkan kedua-duanya.

Dia mampu menunaikan haknya di dunia, dan juga menyediakan dirinya untuk menghadapi alam akhirat.

Manusia diturunkan ke atas muka bumi adalah sebagai khalifah, iaitu untuk mentadbir dan memakmurkan bumi Allah swt.

Pada masa yang sama, dia juga adalah seorang hamba yang mesti tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah swt.

قال تعالى :

إني جاعل في الأرض خليفة 

وقال تعالى :

وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون 

Mafhum terjemahan :

Firman Allah swt :

"Sesungguhnya aku berkehndak menjadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi".

dan Allah swt berfirman lagi :

"Dan tidaklah aku menciptakan jin dan manusia, melainkan beribadah kepada-Ku".


Sampai suatu masa di dalam hidup kita, kita akan tertanya-tanya kepada diri kita, 

"Apa yang sebenarnya aku mahu di dalam hidup aku?".

"Apakah yang buat selama aku hidup ni?".

Dan akan timbul berbagai persoalan demi persoalan sehinggalah sampai kepada suatu persoalan (mungkin),

"Apakah aku sudah melakukan yang terbaik di dalam hidup aku?".

Persoalan tersebut adalah persoalan-persoalan yang tiada padanya jawapan yang betul atau salah.

Betul atau salah pada soalan tersebut, semuanya berbalik kepada diri kita sendiri.

Kita sendiri yang tahu dan faham, apa yang berlaku kepada diri kita.

Kita juga tidak akan mampu menipu diri kita pada persoalan-persoalan tersebut.

Kita mungkin boleh ceritakan kepada semua orang bahawa kita memiliki kejayaan dan pencapaian-pencapaian yang hebat. Namun, jauh di sudut hati kita, kita sendiri sahaja yang tahu, apakah perkara-perkara tersebut benar-benar berbaloi ataupun tidak.

۔۔۔


عن ابن عباس رضي الله عنهما قال : سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول : (لو كان لابن آدم واديان من مال لابتغى ثالثا ، ولا يملأ جوف بن آدم إلا التراب ، ويتوب الله على من تاب)

Mafhum terjemahannya :

Dariapda Ibn Abbas Radiallahu Anhuma, Berkata : Aku mendengar daripada Nabi Sallahualaihi wassalam, berkata : Kalaulah anak adam diberi dua lembah daripada harta, nescaya dia akan meminta yang ketiga, dan tidak akan memenuhi kerongkong anak adam, kecuali tanah, dan Allah swt menerima taubat orang yang bertaubat.

Muttafaqun alaih.

Pada diri setiap manusia itu ada kehendak yang tiada batasnya.

Sekiranya beliau hidup seribu tahun pun, pasti akan sentiasa padanya keinginan yang tidak pernah cukup.

Seandainya manusia itu tidak menyedari bahawa kehidupan bukan sekadar di dunia, pasti dia akan menjadi seorang yang tamak dan rakus mengejar segala keinginannya.

Seandainya dia tahu dan faham, bahawa dia akan dihisab dan dihitung segala perbuatannya di dunia, pastinya dia tidak akan mengagungkan apa yang ada pada dunia. Bahkan, mengambil cukup sekadar yang diperlukan supaya mampu menjadi bekal di akhirat kelak.

...

Apa yang cuba saya sampaikan di sini adalah, motivasi pada kehidupan setiap orang berbeza dan tidak sama. Setiap orang ada haluan dan jalan yang dipilih.

Namun, pada apa jua jalan yang kita pilih, laluilah dengan jujur dan bersungguh-sungguh.

Pada masa yang sama, janganlah sampai kita menjadi orang yang melampaui batas, yang merasakan bahawa matlamat dunia adalah segala-galanya.

Ingatlah, ada suatu kehidupan yang lebih panjang daripada kehidupan di dunia, iaitu kehidupan di akhirat. Penghujungnya hanyalah dua, iaitu syurga ataupun neraka.

Mungkin, tiada siapa yang kita rasa macam berhak untuk bercakap atau mengingatkan kepada kita suapaya kita beramal dan beribadah, menunaikan kewajipan kepada tuhan seperti solat, puasa, zakat, dakwah, dan jihad.

Kadang-kala, kita merasakan bahawa amalan kita sudah cukup apabila kita sekadar menunaikan kebajikan kepada manusia dan orang di sekeliling kita. Tidak dinafikan, menunaikan hak kepada manusia juga adalah suatu kewajipan. Namun, bukan bermakna ia melepaskan diri kita daripada kewajipan ibadah khusus.

Boleh jadi juga, kita merasa bahawa tidak ada masalah untuk kita mengabaikan ibadah khusus yang tuhan tetapkan kepada kita seperti solat, seperti yang saya sebutkan tadi, selagimana hidup kita masih aman, dan bahagia. Asalkan orang tidak melihat dan tidak tahu.

Lebih buruk sebenarnya adalah, apabila kita terlalu obses dengan pencapaian-pencapaian duniawi yang tidak memiliki apa-apa jua makna.

Para Nabi Alaihumussalam, para sahabat riduanullahim alaihim ajmain, para salafussoleh, yang kita dengar kisah-kisah hebat mereka, melakukan bersungguh-sungguh suatu perkara, adalah demi satu matlamat iaitu mencari keredhaan Allah swt.

Suatu hari, kita akan sedar bahawa segala pencapaian yang matlamatnya sekadar di dunia tidak akan kekal dan tidak akan bernilai sepanjang masa.

Sebab ia akan dilupakan, dan akan ada yang membuat pencapaian baru yang lebih hebat.

Apakah pencapaian kita, sekadar mahu menjadi bahan bualan dan cerita yang hebat sahaja?

Ingatlah, setiap hari dan setiap masa, dunia berubah dan sentiasa akan berlaku perubahan.

Masa pula akan sentiasa berlalu dan bergerak kehadapan.

Apa yang penting di dalam hidup kita, bukanlah apa yang kita telah lakukan, apa yang penting adalah, apa yang sedang kita lakukan dan apa yang kita rancang untuk dilakukan pada masa hadapan.

...

Terkadang, saya melihat orang yang memiliki kejayaan-kejayaan yang sangat gah, bukanlah saya hendak memperkecilkan kemampuan mereka. Namun, saya terfikir, apakah yang dicapainya itu sebenarnya, benar-benar membahagiakan dirinya, dan juga benar-benar beliau inginkan dan mahukan.

Atau adakah sebenarnya, dia sekadar ingin menunjukkan kepada semua orang bahawa dia mampu melakukan itu dan ini, supaya dia dipandang hebat dan dimuliakan oleh manusia.

Pada akhirnya, banyak kita temukan orang-orang yang mencapai apa yang diinginkan di dalam hidupnya menemui pengakhiran hidup yang tidak indah.

Namun, sahabat seperti Mus'ab Umair yang bermula hidupnya seperti seorang pemuda yang tampan dan mempunyai minyak wangi yang jika terhidu oleh sesiapa, tahulah ia bahawa itulah dia Mus'ab.

Lalu, pada pengakhirnnya, walaupun tidak memiliki kain yang cukup untuk menutupi jenazahnya, tetapi beliau telah dijamin oleh Allah swt, mendapat tempat di dalam syurga.

Maka, fikir-fikirkanlah. Apakah berbaloi segala macam usaha, dan penat lelah kita di dunia ini?

Apakah ianya mempunyai nilai di sisi Allah swt?

Apakah Allah swt memberkati apa yang kita lakukan atau, waliyauzubillahi min zalik, dia murka dan membenci apa yang kita lakukan?

Wallahualam.


Comments

Popular posts from this blog

Lirik | KeredhaanMu (In-Team)

Pulang dan Kembali.

Kepentingan Niat yang Jelas.